SERI ISKANDAR: Sekali pandang dari bahagian luar, pasti mereka yang pertama kali ke sini tidak menyedari wujudnya sebuah masjid yang dinamakan Masjid Bandar Universiti atau singkatannya MBU.

Malah seringkali orang ramai beranggapan masjid yang mula dibina pada tahun 2016 ini sebagai bangunan pejabat, dek kerana reka bentuk yang sama sekali berbeza dengan masjid lain di sekitar Perak.

Menjadi lumrah bagi kita di Malaysia berfikiran, masjid mesti mempunyai kubah dan berkonsepkan reka bentuk Morocco atau Maghribi, namun berbeza dengan MBU kerana mengekalkan identiti seni bina Islam Nusantara.

Melangkah masuk ke masjid komuniti yang boleh memuatkan kira-kira 1,200 jemaah ini, kawasan luarnya dihiasi dengan konsep taman dan pondok rehat yang menggunakan tenaga solar.

Menurut Pengerusi MBU, Ar. Azman Zainonabidin, masjid ini turut menggunakan pencahayaan semula jadi menerusi tingkap-tingkap yang luas, 'roof skylight' dan 'courtyard' yang berada di tengah-tengah ruang solat terbuka.

Reka bentuk masjid ini juga disediakan sendiri oleh Azman, yang arif dalam bidang tersebut.

Menariknya, MBU begitu menitikberatkan kemudahan untuk orang kelainan upaya (OKU), di samping disediakan tempat letak kereta khas, tandas serta laluan khas (ramp) untuk mereka.

"Antara aspek yang kita tekankan dalam reka bentuk masjid ini ialah mengawal pengunaan tenaga dalam bangunan, saya rasa isu paling banyak berlaku di masjid-masjid ialah bil elektrik yang tinggi.

"Oleh kerana ruang penyaman udaranya yang besar selain terpaksa menggunakan lampu walaupun pada waktu siang.

"Jadi inisiatif kami di sini ialah dengan mengecilkan kawasan yang mempunyai penyaman udara.

"Ruang lain semuanya menggunakan pengudaraan dan pencahayaan semula jadi, ini pengalaman dan idea saya sendiri sebagai arkitek, termasuk dengan mewujudkan persekitaran hijau di sekeliling masjid," katanya.

Beliau yang juga Pensyarah Kanan Program Seni Bina di UiTM Cawangan Perak menjelaskan, reka bentuk seni bina Melayu Islam Nusantara di masjid ini menggunakan rekaan bumbung curam.

Jelasnya lagi, konsep itu lebih bersesuaian digunakan di negara ini berbanding kubah ekoran keadaan cuaca yang kerap hujan, selain isu berbangkit seperti bumbung bocor dan sebagainya.

"Contohnya kalau di Indonesia ada Masjid Agung Demak, itu antara yang terkenal dengan menggunakan bumbung nusantara, tiada kubah.

"Di Malaysia seperti Masjid Kayu di Besut, Terengganu. Ia menggunakan kayu, juga tiada kubah dan rekaannya juga mengikut konsep sama.

"Kalau kita lihat sejarah awal masjid di Malaysia memang kebanyakannya tidak berkubah, tapi selepas ada pengaruh dari Morocco dan India barulah kubah mula wujud.

"Bagi saya seni bina ini sebaiknya ikut cara tempatan dan kita kena bangga dengan seni bina sendiri, oleh itu kita ikut bumbung curam dalam rekaannya," ujarnya lagi.

Selain itu menara setinggi 80 kaki juga menjadi mercu tanda yang boleh dilihat daripada jalan masuk utama ke bandar ini.

Tambah Azman, kebun sayur fertigasi di sini ini juga menjadi salah satu sumber pendapatan kepada masjid, di samping memberi peluang kepada penduduk setempat untuk mendapatkan sayur-sayuran segar.

Terbaharu, masjid ini mempunyai Kebun Fertigasi Cili Koop MBU, dengan 2,300 pokok cili ditanam bagi sumber kewangan.

"Tujuannya lebih kepada mendapatkan pendapatan kepada masjid, antara lainnya masjid bukan tempat untuk beribadat semata-mata, tetapi juga menjadi pusat komuniti.

"Dengan adanya kebun ini maka ada interaksi di antara masjid dan masyarakat, mereka datang ke masjid untuk beli sayur dan solat di sini. Konsep kita ialah pilih, petik, timbang dan bayar.

"Alhamdulillah sambutan terhadap usaha ini sangat baik, bila petik sahaja hasilnya kita akan uar-uarkan di media sosial dan memang habis dijual kepada kariah di kawasan Bandar Universiti," katanya.

Masjid yang mendapat sentuhan reka bentuk daripada pensyarah Jabatan Seni Bina Lanskap UiTM Cawangan Perak, LAr. Zamil Zakaria ini juga, pernah beberapa kali mendapat anugerah kerana keunikannya.