IPOH - Sejak 10 tahun lalu, jalan pintas dari Desa Pakatan ke Bandar Seri Botani yang merupakan jalan persendirian menjadi penghubung penting penduduk setempat.

Jalan ini memendekkan perjalanan selain memudahkan masyarakat untuk ke destinasi masing-masing tanpa melalui jalan utama.

Disebabkan ia adalah jalan persendirian maka keadaannya terbiar apabila berlopak akibat dilalui kenderaan berat dan bertakung apabila hujan.

Keadaan ini menimbulkan kesukaran pada penggunanya, malah ada kenderaan penduduk rosak kerana permukaan jalan yang berlubang-lubang.

Bagaimana pun, inisiatif untuk membaiki jalan ini telah diambil oleh Barisan Nasional (BN) apabila turun padang diketuai Penyelaras MCA Parlimen Gopeng, Cally Ting.

Beliau bersama Ketua UMNO Bahagian Gopeng Datuk Hang Tuah Din dan TeamMCAN44 turun padang meninjau kerja-kerja pembaikpulihan jalan pintas tersebut semalam.

"Jalan persendirian ini tidak pernah mendapat perhatian wakil rakyat dalam 10 tahun yang lepas. Keadaan jalan memang teruk dan membahayakan pengguna jalan.

"Dengan usaha #TeamMCAN44, jalan tersebut telah dibaiki dan #MCAGopeng akan menanggung segala kos pembaikpulihan jalan ini," ujarnya menerusi hantaran pada laman Facebook beliau .

Cally turut mengucapkan terima kasih kepada penduduk setempat atas bantuan mempercepat kerja-kerja pembaikpulihan jalan tersebut.

Dalam pada itu katanya, penduduk yang mempunyai sebarang permasalahan khususnya aduan khidmat awam bolehlah menghubungi Hotline Pejabat Penyelaras MCA Parlimen Gopeng di talian 016- 5605125.