IPOH: Kes demam denggi di kawasan pentadbiran Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) mencatatkan peningkatan, dengan 412 kes dilaporkan sehingga 23 Oktober lalu (Minggu Epid:42).

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin berkata, peningkatan itu adalah sebanyak 174.7 peratus berbanding dengan 150 kes bagi tempoh sama tahun lalu.

Beliau berkata, antara faktor situasi itu terjadi disebabkan musim hujan berterusan yang melanda negara amnya dan Perak khususnya, baru-baru ini.

"Kes demam denggi di kawasan pentadbiran MBI menunjukkan peningkatan sejak awal tahun 2022.

"Sejak 17 September hingga 11 Oktober, tiada lokaliti wabak dilaporkan, namun disebabkan hujan berterusan, kes denggi mula meningkat.

"Dilaporkan dua lokaliti wabak terkawal iaitu Taman Arkid (3 kes) dijangka tamat pada 4 November dan Taman Pengkalan Perdana (4 kes) dijangka tamat pada 8 November.

"Semua sedia maklum yang taburan hujan tahunan sudah meningkat dan ini antara faktor kes demam denggi meningkat.

"Kalau boleh kita mahu beri kesedaran dan nasihatkan kepada orang ramai apabila lepas saja hujan, cepat-cepat buang air yang bertakung untuk elak aedes membiak,"katanya.

Rumaizi berkata demikian ketika berucap dalam Mesyuarat Penuh Majlis bulan Oktober di Dewan Mesyuarat MBI, di sini pada Isnin.

Dalam pada itu, beliau berkata penglibatan Ahli-Ahli Majlis dan ketua komuniti dalam aktiviti turun padang sebelum ini telah banyak membantu mengekang penularan kes denggi.

"Program hebahan maklumat kesedaran denggi dan chikungunya yang disebarkan melalui media massa oleh semua media, media sosial, radio MBI juga telah banyak membantu dalam mengekang kejadian kes denggi.

"Usaha yang dilaksanakan oleh semua pihak bagi menangani wabak denggi diharap dapat diteruskan secara berterusan dan dipertingkatkan supaya kepadatan/densiti nyamuk aedes berada pada tahap seminima yang boleh pada setiap masa," katanya lagi.

Rumaizi berharap penglibatan semua pihak, individu, masyarakat dan badan bukan kerajaan (NGO) secara menyeluruh dapat membantu bekerjasama dalam usaha mengurangkan kes demam denggi.

Sementara itu, dalam perkembangan berasingan beliau berkata, MBI muncul juara bagi dua kategori Pertandingan Pengumpulan Buangan Elektrik dan Elektronik (e-Waste) Sempena Sambutan Hari Alam Sekitar Negara 2022 (HASN) Peringkat Negeri Perak, baru-baru ini.

Kategori tersebut membabitkan Pihak Berkuasa Tempatan Buangan Elektrik dan Elektronik (e-Waste)Terbanyak dan Penganjur Program Bilangan Pengumpulan e-Waste Terbanyak.

Dalam pada itu katanya, dua buah sekolah dalam pentadbiran MBI turut memenangi kategori masing-masing menerusi pertandingan tersebut.

Sekolah tersebut ialah SMK Raja Perempuan, Jalan Batu Bungkal menjadi juara bagi kategori Sekolah Menengah bagi Pengumpulan e-Waste Terbanyak.

Manakala SK Rapat Setia pula mendapat tempat kedua kategori Sekolah Rendah untuk Pengumpulan e-Waste Terbanyak.