IPOH - Semua parti politik yang bertanding dalam Pilihan Raya umum ke-15 (PRU15) di Perak perlu mematuhi semua syarat ditetapkan semasa berkempen.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Yusri Hassan Basri berkata, peraturan itu melibatkan pemasangan bendera, gegantung, poster, iklan atau apa-apa bahan kempen.

Ia bagi memastikan tidak menimbulkan kacau ganggu, risiko kemalangan.

"Kita meminta parti-parti politik yang bertanding agar tidak menggantung semua bahan kempen pada tempat dan kawasan yang boleh mengganggu pemanduan pengguna jalan raya.

"Justeru, polis Perak meminta petugas-petugas parti berkenaan segera mengambil tindakan sewajarnya iaitu dengan mencabut dan mengalihkan bahan kempen yang digantung di tempat tidak sesuai," ujarnya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Setakat ini dua laporan polis telah diterima mengenai pemasangan bahan kempen yang boleh membahayakan pengguna jalan raya.