IPOH - Kejadian kecurian penutup besi (manhole) dan penutup lubang jenis konkrit yang retak di beberapa lokasi di Ipoh mendapat respons segera pihak vendor Puncak Emas Infra Sdn. Bhd. (PEISB).

PEISB merupakan syarikat vendor selenggaraan yang dilantik oleh Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) bagi kerja-kerja di bandaraya Ipoh.

Pada Selasa lalu, Pegawai Pengurusan Trafik Seksyen Ipoh, Ahmad Safuan telah memberi arahan kepada wakil 'Inhouse Team' untuk melakukan pemasangan peralatan pengurusan trafik (TMD) di beberapa kawasan sekitar Ipoh.

Antara kawasan yang terlibat adalah Persiaran Bukit Meru 1, Jalan Meru Mutiara 16, Lebuh Meru Raya dan juga Jalan Rishah Indah 7.

Hasil daripada tinjauan yang telah dilakukan, beberapa penutup 'manhole telah pecah dan hilang akibat dicuri.

Sebagai tindakan segera, kerja pemasangan ini amat diperlukan bagi memberi amaran awal kepada penduduk sekitar agar tidak mendekati kawasan yang merbahaya ini.

Kerja-kerja pemasangan ini mula dilakukan pada pukul 5:30 petang dan berakhir pada 12 malam.