Ipoh: Seramai 1,500 orang hadir memeriahkan acara bulanan Ipoh Car Free Day (ICFD) yang berlangsung di Persiaran Bandaraya, Jalan Sultan Abdul Jalil hari ini.

Datuk Bandar Ipoh, Dato’ Rumaizi Baharin@Md Daud berkata program ICFD siri ke tujuh itu, menampilkan tema Hari Kanak-Kanak Sedunia yang disambut pada 20 November setiap tahun.

Sempena Hari Kanak-Kanak ini, semestinya Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) menjadikannya sebagaisatu inspirasi untuk menyokong, mempromosi dan meraikan hak kanak-kanak sebagai generasi baharu yang menjadi aset kepada negara.

Pada Oktober lalu, program ICFD tidak dapat dilaksanakan kerana kesibukan negara menguruskan Pilihanraya Ke-15. Namun, pada pagi ini program ini diteruskan dengan pelbagai pengisian yang memberi manfaat kepada warga kota Ipoh khususnya.

Seramai 150 peserta yang terdiri daripada anak-anak kakitangan MBI telah menjayakan beberapa acara pagi ini antaranya permainan pintar pintas dan persembahan kumpulan Taekwondo kanak-kanak,” katanya kepada media selepas acara pelepasan Ipoh Jom Malaysia Fun Run 5KM yang disertai seramai 200 orang peserta.

Sementara itu, seramai 60 orang kanak-kanak berusia 3 hingga 14 tahun mempersembahkan teknik seni mempertahankan diri Taekwondo di bawah jurulatih Saiful Baharin Abdul Majid yang juga merupakan pesara MBI.

ICFD turut dimeriahkan dengan cara senamrobik, pemeriksaan kecerdasan percuma dan pameran-pameran dari pelbagai jabatan dan agensi.

Menurut Rumaizi, program ICFD bertujuan mempertingkatkan kesedaran di kalangan wargakota mengenai kepentingan penjagaan alam sekitar.

Pihak MBIberharap dengan kesedaran yang semakin meningkat, wargakota Ipoh akan menjadi komuniti yang sentiasa mengamalkan gaya hidup hijau dan rendah karbon sekaligus kita mampu mencapai visi ke arah Bandar Rendah Karbon menjelang 2030.

 

ends//