IPOH: Lantikan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri ke-10 dari Parlimen Tambun diharapkan bukan sahaja memberi limpahan pembangunan kepada bandar raya Ipoh, tetapi juga di seluruh Perak.

Harapan itu disuarakan oleh Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin yang optimis banyak perancangan bakal dirangka demi kemajuan di bandar raya Ipoh khususnya.

"Ia satu sejarah buat negeri Perak dan bandar raya Ipoh khususnya, pada pendapat saya pelantikan itu sudah tentu beri impak kepada semua.

"Mengambil contoh sebelum ini Perdana Menteri dari Pahang, jadi sudah tentu ada impak di sana. Selain itu, sebelum ini di Perak juga ada Timbalan Perdana Menteri dari Bagan Datuk dan ada impak di sana.

"Sama juga Perdana Menteri dari Johor serta Kedah. Saya mengharapkan impak yang datang ke bandar raya Ipoh bukan sekadar di sini tetapi meluas ke seluruh Perak," katanya.

Rumaizi ditemui pemberita pada sidang media selepas Mesyuarat Penuh Majlis Bulan November di Dewan Mesyuarat MBI, di sini pada Rabu.

Beliau berkata demikian kepada pemberita sebagai mengulas pelantikan Anwar sebagai Perdana Menteri.

Bandar raya Ipoh kini mengecap satu lagi status baharu apabila boleh dipanggil sebagai Bandaraya Perdana Menteri berikutan pelantikan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai pemimpin nombor satu negara.

Ini kerana Anwar merupakan Ahli Parlimen Tambun iaitu kerusi Parlimen yang mana berada dalam jajaran bandar raya Ipoh.

Ia juga mencatatkan sejarah tersendiri kerana belum ada mana-mana Perdana Menteri negara yang mewakili kawasan di dalam bandar raya.

Sementara itu, beliau berkata Perak boleh mengorak langkah lebih besar setelah pelantikan tersebut, dengan lebih banyak pelaburan masuk ke negeri ini.

"Bila cakap tentang Perdana Menteri, sepatutnya Perak boleh jadi lebih besar. Sebagai contoh Perdana Menteri dari Kedah, antara pelaburan terbesar negara kita datang dari situ.

"Kita harap juga kesan sama di Perak di mana ia akan jadi kawasan pelaburan yang tertinggi di Malaysia. Sebab Perdana Menteri bukan saja dari Tambun, Ipoh tetapi juga boleh bantu keseluruhan Perak," katanya lagi.