IPOH: Pelantikan Ahli Majlis baharu bagi pihak berkuasa tempatan (PBT) Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) dijangka akan dilakukan seawal tahun depan.

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin berkata, keputusan untuk melantik Ahli Majlis diputuskan sepenuhnya oleh kerajaan negeri.

Bagaimanapun katanya, beliau berharap perkara itu diselesaikan tahun depan bagi memberi ruang untuk kerja dan khidmat kepada rakyat terlebih dahulu.

"Yang ini (pelantikan) saya serahkan kepada kerajaan negeri. Tapi saya difahamkan, dan dengan rundingan kita lakukan setakat ini saya mohon supaya kerajaan negeri selesaikan masalah rakyat dahulu.

"Maknanya bulan Disember ini kita akan ada pembentangan Bajet, kami (MBI) pun kena buat dan masukkan dalam mesyuarat khas.

"Jangkaannya Sidang DUN Bajet akan diadakan pada 19 Disember. Saya ingat paling awal tahun depan, hujung tahun ini baru boleh selesaikan Bajet dan sebagainya... kalau hendak tukar (Ahli Majlis) mungkin lepas itu," katanya.

Rumaizi ditemui pemberita pada sidang media selepas Mesyuarat Penuh Majlis Bulan November di Dewan Mesyuarat MBI, di sini pada Rabu.

Sebelum ini terdapat 24 orang Ahli Majlis MBI yang terdiri daripada Pas (5), Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) (7) dan Barisan Nasional (BN) (12).