IPOH: Sekurang-kurangnya 30 pengecas kenderaan elektrik (EV) akan dipasang di sekitar bandar raya Ipoh tahun depan, kata Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin.

Ujarnya keperluan itu penting dalam menjadikan bandar raya Ipoh sebagai bandar pelancongan, di samping memudahkan pengguna kenderaan tersebut.

Justeru katanya, pihak Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) telah menjalinkan kerjasama dengan syarikat swasta bagi memastikan keperluan itu dipenuhi.

"Untuk menggalakkan pembinaan EV di sini, kita sudah melantik syarikat usahasama dan sekurang-kurangnya 30 pengecas EV akan diwujudkan tahun depan.

"Kalau kita (Ipoh) mahu jadi bandar pelancongan, kita kena ada pengecas EV. Saya ambil contoh sekarang banyak kereta dari Singapura masuk ke Ipoh.

"Bila saya semak dan komen yang diterima, kenderaan dari sana sudah banyak yang menggunakan EV.

"Jadi kita akan buat (pengecas) dengan teknologi baharu, ia tidak ambil masa lama untuk cas dan akan diwujudkan tahun depan," katanya.

Rumaizi berkata demikian pada sidang media selepas Mesyuarat Penuh Majlis Bulan November di Dewan Mesyuarat MBI, di sini pada Rabu.

Sebelum ini MBI sudah merangka penyediaan pengecas EV dalam Blueprint Pelan Bandar Rendah Karbon 2030 bagi menggalakkan penggunaan EV untuk mengurangkan pelepasan gas karbon.

Tahun lalu MBI dengan kerjasama pihak Greentech Malaysia (MGTC) telah melaksanakan pemasangan dua unit pengecas EV di Ibu Pejabat Majlis dan Pejabat Lama di Ipoh Padang.

Selain itu, terdapat penambahan dua unit lagi tahun ini iaitu di Taman  D.R Seenivasagam dan Taman Rekreasi Sultan Abdul Aziz. Terdapat juga penglibatan pihak swasta bagi pemasangan pengecas EV di bandar raya Ipoh melibatkan dua unit di pembangunan Sunway City Ipoh, dua unit di Hotel Weil dan satu unit di tempat letak kereta Pusat Transformasi Bandar (UTC) Ipoh.