KUALA KANGSAR: Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) akan mengadakan Istiadat Konvokesyen yang ke-15 pada 3-4 Disember (Sabtu-Ahad) ini, di Dewan Jubli Perak, Kuala Kangsar.
 
Istiadat Konvokesyen ini akan berlangsung selama dua hari dengan empat sidang, setelah dua tahun diadakan secara maya susulan pandemik Covid-19.

Tuanku Canselor, Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah telah berkenan mencemar duli untuk menyempurnakan penganugerahan ijazah kepada graduan bagi sidang pertama pada Sabtu serta menyampaikan anugerah kepada pelajar cemerlang.

Menurut Timbalan Naib Canselor Pentadbiran dan Kewangan, Prof. Madya Dr. Anas Md Yusof, istiadat kali ini menyaksikan seramai 1,908 orang graduan, merangkumi Ijazah Doktor Falsafah (4), Sarjana (47), Sarjana Muda (990) dan Diploma (852).

"Ini merupakan jumlah graduan paling ramai dikeluarkan oleh USAS sejak penubuhannya pada tahun 1999 (KISDAR).

"Buat pertama kalinya juga seramai 15 orang graduan Diploma Pascasiswazah (Amalan Kehakiman dan Guaman Syarie di bawah Fakulti Pengajian Islam dan Sains Sosial," katanya dalam kenyataan pada Khamis

Beliau berkata, konvokesyen kali ini membabitkan seramai 1,244 graduan lulusan Fakulti Pengajian Islam dan Sains Sosial serta 664 orang daripada Fakulti Pengurusan dan Teknologi Maklumat universiti tersebut.

Majlis itu juga dapat disaksikan secara maya melalui Facebook rasmi USAS.

"Masyarakat sekitar Kuala Kangsar turut dijemput untuk menghadiri pelbagai aktiviti Festival Kuala Kangsar dan Konvokesyen USAS (Festival Feskon) di Dataran Pavillion, Kuala Kangsar bermula 1 hingga 4 Disember.

"Pelbagai aktiviti secara percuma telah diatur untuk pengunjung termasuk mini petting zoo dan permainan gelungsur air Soopa Doopa," katanya.

Pengunjung juga boleh mengambil bahagian dalam acara sukan rakyat, explorace, battle nasyid, pertandingan memasak masakan kampung dan Kuala Fun Run.

Pelbagai pertandingan acara sukan seperti bola sepak, ragbi, bola jaring dan badminton turut diadakan di sekitar Kuala Kangsar sempena konvokesyen tersebut.