Ipoh: Pantai Hospital muncul sebagai hospital swasta pertama di negeri Perak menyediakan makanan bertaraf hotel lima bintang kepada para pesakit dalam wad.

Ketua Chef Pantai Hospital, Chef Dorrett Joseph berkata sejak menu istimewa itu diperkenalkan pada September lalu, maklum balas dari para pesakit tenyata mendapat sambutan sepanjang berada di dalam wad.

“Sebagai permulaan kami memperkenalkan dua menu utama untuk makan tengahari dan malam iaitu Nasi Dulang Nusantara dan Nasi Gorang Ayam Salai Lemak Cili Api.

“Sajian yang berasaskan masakan Negeri Sembilan ini adalah cetusan menu dan kerjasama Chef Dato’ Fazley Yaakob. Setelah melalui beberapa fasa pengubah suaian dan percubaan barulah menu ini diperkenalkan kepada pesakit-pesakit kami.

“Namun begitu, hidangan ini bukanlah menjadi pilihan kepada semua pesakit, ia hanya dihidangkan kepada pesakit-pesakit biasa dan bukan kepada pengidap penyakit kronik seperti sakit kencing manis, jantung dan lain-lain,” katanya kepada Ipohecho sebaik selesai Majlis Food Review di Salt & Pepper Cafe, Pantai Hospital baru-baru ini.

Nasi Dulang Nusantara menggabungkan Nasi Pandan Tumis Berempah, Ikan Kremes, Pecal Dengan Sayur Rebus Dan Sambal Minang, Rendang Ayam Rembau, Ayam Pop Sambal Hijau Dan Ayam Salai Lemak Cili Api.

Sementara itu, Nasi Goreng Ayam Salai Lemak Cili Api disediakan bersama Terung Bakar, Satay Padang,Keropok Belinjau, Ayam Salai Lemak Cili Api Dan Sambal Hijau.

Menurut Chef Dorrett Joseph, menyediakan sajian untuk pesakit dalam wad bukanlah sesuatu yang mudah dan tidak boleh diambil ringan.

“Walaupun saya berpengalaman di bidang masakan selama 30 tahun tetapi dalam industri hospital ini sangat berbeza daripada perhotelan.

“Setiap penyediaan bahan-bahan masakan haruslah disediakan secara terperinci mengikut skala yang ditetapkan contohnya penggunaan lemak di gantikan dengan susu namun ditetapkan secara optimun dan kandungan fiber yang mencukupi bagi mewujudkan sumber makanan yang berkhasiat kepada pesakit selain membangkitkan selera.

“Makanan yang seimbang perlu mengandungi nutrien seperti karbohidrat, protein, lemak, vitamin dan garam galian pada kadar yang betul,” katanya. -PERAKTASTIC-