IPOH: Pelaksanaan caj tempat letak kereta setiap hari termasuk cuti umum dan hari Ahad sebagaimana yang dilaksanakan Majlis Daerah Batu Gajah (MDBG), adalah tertakluk kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) di daerah masing-masing di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Sandrea Ng Shy Ching berkata, sebelum ini penyelarasan serta penyeragaman caj tempat letak kereta itu hanya membabitkan pembayaran menerusi aplikasi pintar Park@Perak.

"Tetapi kalau di peringkat daerah sebab masing-masing ada Undang-undang Kecil, perkara itu (caj tempat letak kereta di MDBG) mungkin saya perlu semak semula.

"Sebab setakat ini kebiasaannya yang kita tahu hanya untuk hari bekerja sampai Sabtu sahaja, secara umum setiap Majlis mempunyai kuasa autonomi untuk membuat peraturan yang tidak perlu seragam di semua daerah, tetapi apa pun saya perlu semak dahulu," katanya.

Sandrea Ng berkata demikian sebagai mengulas soalan pemberita mengenai rungutan orang ramai yang mempertikaikan kewajaran caj tempat letak kereta di MDBG setiap hari, termasuk cuti umum dan hari Ahad bermula jam 8 pagi hingga 5 petang.

Beliau ditemui pemberita pada sidang media selepas menyempurnakan perasmian pembukaan Grab Driver Centre di Aeon Falim, di sini, pada baru-baru ini.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai penguatkuasaan PBT berhubung undang-undang kunci tayar di negeri ini, beliau menjelaskan perkara itu akan dilihat secara teliti dan disemak semula.

"Difahamkan perkara itu ada ruang kontroversi sebab PBT 'outsource' penguatkuasaan pada syarikat swasta, jadi ada pertikaian di situ apabila diturunkan kepada pihak swasta untuk membuat penguatkuasaan.

"Tetapi kita ambil maklum daripada keputusan mahkamah itu untuk kita semak balik sama ada penguatkuasaan sedia ada di Perak, ada kes sebegitu yang mungkin akan timbulkan isu," katanya.

Sebelum ini media melaporkan, Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandaraya Islam (MPKB BRI) menangguhkan serta merta tindakan kunci tayar kenderaan yang diparkir dalam petak parkir kawasan pentadbiran PBT berkenaan.

Keputusan itu dibuat kerana akur dengan keputusan Mahkamah Rayuan di Putrajaya yang sebulat suara memutuskan bahawa undang-undang kunci tayar MPKB adalah tidak sah kerana bertentangan (ultra-vires) dengan Akta Pengangkutan Jalan (Akta 333).