IPOH: Peranan serta kerjasama veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dialu-alukan dalam menyebarluaskan peranan Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) ATM, bagi memastikan kebajikan veteran terbela.

Ketua Pengarah JHEV ATM, Mejar Jeneral Zambery Jefry Darus berkata, aduan dan suara veteran sentiasa menjadi keutamaan pihaknya, lebih-lebih lagi dalam menyediakan pelbagai skim bagi membantu golongan berkenaan.

"Saya menyarankan kepada semua veteran ATM dan dibantu oleh persatuan yang berkenaan supaya lebih menyebarluaskan tentang peranang JHEV ATM.

"Di mana kami sentiasa cakna dan prihatin serta responsive terhadap hal kebajikan veteran ATM, terutama yang memerlukan seperti sakit, tiada rumah dan perlu tanggung perbelanjaan pendidikan anak-anak dan sebagainya," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media selepas Program Penyerahan Peralatan Pesakit Sempena Program Cakna Veteran ATM, di Tambun, di sini, pada Jumaat petang.

Katanya lagi, terdapat pelbagai skim yang diwujudkan bagi membantu veteran ATM, dan akan ditambah baik dari masa ke semasa.

"Kita ada banyak skim kebajikan dan pendidikan, termasuk ekonomi kepada veteran. Cuma saya minta mereka memahami dan peka dengan kewujudan JHEV, boleh layari portal rasmi termasuk media sosial rasmi JHEV.

"Sudah pasti kita akan menambahbaik skim-skim sedia ada, selain mewujudkan mana-mana skim lebih baik untuk membantu lagi (veteran ATM).

"Itu pun kalau disuarakan oleh veteran terbabit, yang penting suara daripada veteran itu sendiri yang maklumkan kepada kami. Kalau veteran itu pun tidak tahu hendak salurkan aduan ke mana, ia akan menyukarkan keadaan.

"Bila saya turun padang seperti hari ini, boleh bersembang secara terus dengan veteran, kita tahu apa yang berlaku dan masalah mereka.

"Tetapi kalau tidak dimaklumkan (tentang masalah veteran), mungkin kami tak akan tahu," katanya.

Dalam pada itu, Zambery Jefry berkata, sebagai contoh Skim Bantuan Peralatan Pesakit bertujuan memberi bantuan kewangan kepada veteran ATM, isteri dan tanggungan.

Katanya lagi, sehingga November tahun ini sebanyak RM 398,275 diperuntuk kepada 472 penerima yang layak menerima pelbagai bantuan peralatan pesakit menerusi JHEV ATM.

"Skim Bantuan Peralatan Pesakit membolehkan mereka membeli peralatan bantuan sokongan seperti kerusi roda, tongkat, katil, tilam dan sebagainya.

"Kadar bantuan maksimum adalah sebanyak RM 5,000. Selain itu, program Cakna Veteran ATM ini juga merupakan salah satu usaha dalam memastikan agenda kebajikan veteran ATM dan tanggungannya diutamakan," katanya lagi.

Terdahulu dalam program itu, beliau mengadakan lawatan kebajikan di rumah veteran Chen Tak Wee @ Chong Tak Wee, 75.

Beliau turut menyerahkan bantuan peralatan pesakit iaitu sebuah kerusi roda bagi kegunaan veteran tersebut yang tidak dapat berjalan dengan sempurna, susulan pembedahan memasukkan besi di paha akibat terjatuh baru-baru ini.