Cameron Higlands: Usaha merapatkan jurang perkhidmatan penjagaan kesihatan berkualiti, Hospital Pakar KPJ Ipoh (KPJ) Ipoh, telah melancarkan sebuah pusat maklumat yang berfungsi sebagai hab untuk pesakit yang dari Cameron Highlands.

Ketua Pegawai Eksekutif Wilayah (Utara) KPJ Healthcare Berhad, Roslan Ahmad berkata pihaknya mendapati terdapat jurang pasaran ketara di Cameron Highlands berpandukan peningkatan trend pesakit yang hadir mendapatkan rawatan di KPJ Ipoh.

“Kami memahami kekangan yang mereka lalui untuk mendapatkan rawatan di KPJ Ipoh, dan kami berharap pusat maklumat ini akan dapat membantu dan menyantuni masyarakat setempat.

“Kami menyediakan akses yang lebih baik dengan memfokuskan penjagaan kesihatan berkualiti. Kami berharap perkhidmatan ini, dapat memanfaatkan kesihatan komuniti menerusi penjagaan dan rawatan holistik selaras dengan slogan KPJ iaitu 'Care for Life'.

“Pusat maklumat ini, berfungsi untuk menyediakan bantuan kepada pesakit tempatan termasuk menyediakan perkhidmatan penyelarasan temu janji perubatan dan pemeriksaan kesihatan disamping mengaturkan urusan perjalanan pesakit termasuk penginapan,” katanya kepada media selepas Majlis Perlancaran Pusat Maklumat
di 23-LG, Jalan Palas Horizon, 39100, Kea Farm, Cameron Highlands, baru-baru ini.

Sementara itu, Setiausaha Majlis Daerah Cameron Highlands, Mazlan Mohamed Isa berkata pihaknya mengalu-alukan usaha KPJ Ipoh dan KPJ Healthcare dalam menyediakan perkhidmatan penjagaan kesihatan berkualiti.

“Kami berharap lebih banyak lagi kerjasama dan inisiatif seperti ini dalam usaha meningkatkan kualiti penjagaan kesihatan untuk komuniti kami pada masa hadapan.

“Difahamkan, pusat maklumat ini menyediakan maklumat terkini mengenai rawatan yang ditawarkan oleh KPJ Ipoh bagi memudahkan pesakit menerima penjagaan kesihatan dengan lebih cepat dan menjimatkan masa,” ujarnya.

Pusat maklumat ini beroperasi setiap Isnin hingga Jumaat dari jam 9.00 pagi hingga 5.00 petang dan ditutup pada hari Sabtu, Ahad dan cuti umum.

Untuk maklumat lanjut, layari www.kpjhealth.com.my/ipoh.