IPOH - Sekolah Kebangsaan Jalan Pegoh (SKJP) mengharumkan nama negeri Perak apabila terpilih dalam penjurian Penarafan Surau Imarah Sekolah-Sekolah (PERSISS) Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) Tahun 2022 - 2023.

Ini merupakan pencapaian terbaik dan membanggakan sekolah yang terletak dalam kawasan perumahan Taman Pengkalan Jaya ini.

Musalla Al-Syifa' SKJP dipilih bersama lima buah sekolah lain bagi menilai yang terbaik pada penarafan peringkat kebangsaan ini.

PERSISS merupakan satu program yang dikelolakan Bahagian Pendidikan Islam (BPI) KPM.

Kejayaan terpilih ini merupakan satu pengiktirafan besar atas usaha pihak sekolah khususnya para guru dan murid-murid dalam masa sama mengimarahkan surau.

Proses penjurian akhir telah pun dilaksanakan semalam oleh diketuai dua Penolong Pengarah Pembangunan Program Adab dan Nilai BPI KPM iaitu Abd. Rahman Che Soh dan Sya'ban Anton.

Mereka turut disertai lima orang wakil dari Jabatan Pendidikan Negeri Perak serta pegawai mewakili pihak Bank Islam.

Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru SKJP, Afi Roshezry Abu Bakar, sebanyak 55 inovasi telah ditunjukkan kepada para juri untuk penilaian.

Katanya, daripada jumlah itu tiga inovasi menjadi tumpuan utama iaitu Train to Jannah, bilik khat dan relau untuk membakar naskah yang mempunyai tulisan al-Quran.

"Musalla Al-Syifa’ ditubuhkan pada tahun 1996 seiring penubuhan SK Jalan Pegoh yang mana nama Musalla Al-Syifa’ terhasil sejak Program jQAF diperkenalkan

"Alhamdulillah, sepanjang tempoh tersebut musalla ini telah melalui beberapa proses perubahan dan naik taraf bertujuan menyediakan kemudahan yang baik kepada pelajar serta guru," ujarnya ketika dihubungi.

Tahun 2020, Musalla Al-Syifa’ melalui satu perubahan fizikal buat kali kedua menjadi musalla yang lebih kondusif.

Seterusnya ia telah dinobatkan sebagai johan musalla terbaik (Kategori Sekolah Rendah) PERSISS KPM peringkat Negeri Perak tahun 2020.

Tambah Afi Roshezry, Musalla Al-Syifa’ mula meluaskan tapak bagi aktiviti pengimarahan musalla dengan mewujudkan Dataran Syifa’ World pada tahun 2021.

"Sejak sesi persekolahan secara bersemuka, pelbagai aktiviti mengimarahkan musalla telah diadakan melibatkan semua murid dan juga guru.

"Objektif kita ialah untuk membentuk sahsiah syumul generasi Rabbani melalui Tazkiyah Ruhiyah berfokuskan kemenjadian murid," ujarnya.

Dalam pada itu, ucapan penghargaan terhadap pemilihan SK Jalan Pegoh turut disampaikan oleh Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek menerusi rakaman video.

Ucapan sama juga diterima daripada ahli-ahli kumpulan nasyid Inteam serta juruhebah personaliti, Mohd Izwan Azir Saleh juga menerusi rakaman video.