IPOH: Manusia perlu peka dengan kewujudan virus COVID-19 yang masih menular dan usah terlalu cepat alpa hingga berperangai cuai dan lalai, seperti pepatah menyebut "pelanduk melupakan jerat,tetapi jerat tidak melupakan pelanduk”.

Pesanan itu disampaikan menerusi teks khutbah Jumaat di seluruh Perak yang dikeluarkan oleh Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk), dengan tajuk 'Mengutamakan Kesihatan Rakyat'.

Menurut teks itu, COVID-19 masih berlegar dalam kehidupan harian manusia dan terus hinggap dari mangsa ke mangsa; malah daripada masa ke semasa menjelma varian baharu.

Dalam bahasa mudahnya, virus itu sentiasa berusaha menukarkan bentuk atau sifatnya untuk terus melawan ikhtiar manusia yang mahu menghapuskannya.

"Segala amalan kesihatan yang baik perlu dipatuhi dan setiap nasihat kesihatan perlu diikuti untuk memastikan wabak dan penyebaran COVID-19 tidak kembali merebak.

"Di samping langkah-langkah yang diperkenal oleh kerajaan, rakyat juga wajib berwaspada dan mengambil segala langkah demi memastikan peristiwa pahit yang kita alami semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tidak berulang," katanya.

Katanya lagi, sejak kebelakangan ini pelbagai pihak menyuarakan kebimbangan baharu terhadap perkembangan terkini wabak tersebut, susulan kelonggaran sekatan perjalanan pelawat dari negara China.

Justeru itu, memahami kebimbangan rakyat, pihak berkuasa kerajaan sedang memantau secara rapi dan melaksanakan langkah- langkah kawalan untuk membendung penularan virus.

"Terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP), iaitu peraturan yang disampaikan oleh Kementerian Kesihatan bagi melindungi diri daripada jangkitan.

"Mendapatkan nasihat pegawai perubatan untuk mengambil suntikan dos penggalak, mengamalkan memakai pelitup muka ketika berada di tempat yang ramai, sempit serta ketika berada dalam pengangkutan awam.

"Selain itu, tidak digalakkan bersalaman dengan terlalu banyak tangan dan hendaklah membilas tangan dengan cecair pembasmi kuman yang digunakan untuk mengurangkan agen jangkitan.

"Menukar pakaian dan mandi sebaik sampai ke rumah sebelum menyentuh ahli keluarga terutama anak kecil dan bayi.

"Ahli-ahli jawatankuasa masjid dan surau hendaklah melakukan langkah pencegahan dengan memastikan sentiasa berlakunya kitaran udara bersih dalam ruang solat dengan membuka tingkap dan pintu untuk seketika, terutama selepas solat Jumaat; memastikan aliran air yang bersih untuk berwuduk," katanya.

Mengimbas situasi yang pernah melanda dunia ketika awal kemunculan virus itu, COVID-19 tercatat dalam sejarah sebagai malapetaka yang amat pahit dan memberi kesan besar kepada dunia.

Katanya lagi, pandemik berkenaan bukan sahaja menjejaskan prestasi ekonomi dunia, kehidupan insan, pengurusan kesihatan, dan bekalan makanan, malah meninggalkan trauma yang turut menjentik emosi ramai pihak.

"Pelancong hilang destinasi, perantau hilang tuju, pengembara hilang sempadan, kapal merapat ke pelabuhan, pesawat terdampar di hangar, kereta api tersadai di stesen, bunga terasa kehilangan embun pagi, dilonggokkan layu, sayuran dipulangkan ke bumi, dan susu dicurahkan ke ladang; lebih menghibakan berjuta warga dunia kehilangan nyawa.

"Kita turut mengalami peristiwa hitam yang mahu kita lupakan. Banyak pengalaman pahit yang kita alami. Masjid, surau dan rumah ibadat terpaksa ditutup, begitu juga pejabat, universiti, maktab, sekolah, termasuk gudang dan gedung perniagaan.

"Ramai yang menanggung derita, jatuh muflis, kehilangan kerja, terputus pendapatan, perniagaan ditutup, persekolahan anak-anak turut kelam kabut, kelas dalam talian menyebabkan ramai murid yang tercicir sementara guru menghadapi tekanan, dan tidak kurang pula yang kehilangan orang tersayang," katanya.

Jelasnya lagi, pandemik itu hampir melumpuhkan sistem kesihatan di negara ini susulan menghadapi kesulitan untuk mengurus kes jangkitan yang begitu banyak, berbanding kemudahan, peralatan dan tenaga sedia ada yang terhad.

Di samping itu, beban tanggungjawab yang dihadapi oleh para petugas perubatan dan kesihatan barisan hadapan, sampai ke peringkat menyebabkan sebahagian mereka mencecah tahap lesu upaya.

"Alhamdulillah berkat kesabaran dan ketabahan, kita berjaya menghadapi ujian Ilahi. Dengan rahmat Ilahi, pandemik COVID-19 berjaya ditangani.

"Kita kini sedang melalui fasa pemulihan, bukan sahaja pemulihan ekonomi, tetapi pemulihan semangat dan harapan kerana dapat melalui kehidupan seperti biasa.

"Ekonomi negara semakin dan semoga terus dipulihkan, semoga disusuli kewujudan peluang pekerjaan dan perniagaan yang baharu," katanya.