IPOH: Jalan yang berlubang dan berlopak di lorong belakang berdekatan Lebuh Perajurit 3, di sini, akhirnya ditampal sesuai untuk kegunaan pengguna jalan raya.

Ahli Majlis,Majlis Bandaraya Ipoh (MBI), Prof. Dr Richard Ng berkata, kerja-kerja menampal jalan tersebut dilakukan oleh pihak kontraktor Puncak Emas.

"Pagi tadi saya turun padang memantau kerja menampal jalan berlubang oleh pihak kontraktor Puncak Emas di lorong belakang dekat Lebuh Perajurit 3.

"Ini ekoran aduan yang saya sampaikan dua hari yang lalu. Kerja menampal jalan mengambil masa 2 jam, yang bermula pada jam 10 pagi.

"Terima kasih pihak Puncak Emas kerana membantu menyelesaikan aduan ini dengan pantas," katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.

Dalam pada itu, Richard berkata ia juga merupakan tanggungjawab terakhirnya sebagai Ahli Majlis memandangkan tempoh khidmatnya akan berakhir pada pertengahan bulan ini.

Beliau turut menitipkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang banyak membantunya selama ini, selain menegaskan akan terus berbakti untuk masyarakat selepas ini.

"Ini adalah antara tanggungjawab terakhir saya sebagai Ahli Majlis sejak dilantik pada 1 Mei 2020 sehingga 15 Februari 2023.

"Saya amat berterima kasih dan bersyukur kerana dapat menggunakan lantikan ini untuk membantu masyarakat yang memerlukan, semoga Ipoh terus bestari dan sejahtera selepas ini," katanya lagi.