TAIPING: Usaha untuk melestari serta memastikan kawasan sekitar bebas daripada sampah sarap tidak akan tercapai jika mentaliti masyarakat masih di takuk lama.

Insiden tong sampah pintar atau smart bin yang dipercayai dirosakkan di Taman Tasik Taiping di sini, baru-baru ini sedikit sebanyak merencatkan usaha yang dilaksanakan pihak berkuasa tempatan (PBT).

Majlis Perbandaran Taiping (MPT) dalam kenyataan baru-baru ini berkata, pelbagai kemudahan untuk keselesaan pengunjung tidak dapat dilaksanakan kerana isu vandalisme masih berleluasa.

"Belum beroperasi sepenuhnya, sebuah smart bin dirosakkan oleh pengunjung yang tidak bertanggungjawab.

"Kejadian tersebut disedari kakitangan bahagian landskap sewaktu menjalankan kerja pembersihan pada awal pagi.

"Satu laporan polis telah dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Taiping untuk tindakan selanjutnya. Nilai kerugian masih dalam siasatan," katanya.

Katanya lagi, inisiatif smart bin merupakan kerjasama di antara MPT dan Kementerian Pembangunan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

Ia berfungsi untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan pengurusan sampah.

"Sebanyak 44 smart bin ditempatkan di Taman Tasik Taiping, Pusat Peranginan Bukit Larut, Zoo Taiping & Night Safari untuk kegunaan pengunjung.

"Ia berfungsi dengan menghantar isyarat kepada pekerja pembersihan apabila tong sampah telah penuh bagi mengelakkan limpahan sampah. Smart bin dalam proses pengujian akhir dan dijangka akan beroperasi sepenuhnya pada akhir bulan ini," katanya.

MPT turut menasihtkan orang awam supaya menghargai harta awam selain sama-sama menjaga kebersihan alam sekitar.

"Setiap tahun MPT terpaksa membelanjakan ribuan ringgit untuk membaiki kemudahan dan harta awam yang dirosakkan.

"MPT menyediakan fasiliti yang terbaik untuk orang awam tetapi malangnya segelintir orang awam tidak menghargai usaha yang dibuat MPT," katanya lagi.