TRONG: Sikap tidak peduli segelintir pemilik haiwan ternakan yang sengaja membiarkan haiwan pemeliharaan tanpa pengawasan di Kuala Trong, disifatkan sebagai tidak bertanggungjawab.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Trong, Faisal Abdul Rahman menegaskan, isu yang membelenggu penduduk dan pengguna jalan raya di kawasan tersebut bukanlah perkara baharu.

Malah katanya, turut mendukacitakan apabila masalah itu turut menyebabkan berlakunya kemalangan jalan raya yang kerap, sehingga membabitkan nyawa.

"Haiwan ini tiada tanda pemilik dan tiada kandang. Ia dilepaskan merayau melalui laluan kebun dan jalan raya.

"Kemalangan jalan raya kerap berlaku kerana haiwan ini, sehingga melibatkan nyawa dan harta benda," katanya dalam hantaran di Facebook.

Beliau berkata, apabila berlaku kemalangan maka tiada insuran boleh dituntut.

Katanya lagi, pihak penternak tidak boleh memekakkan telinga dan membutakan mata kerana nilai nyawa serta harta tidak dapat dibayar.

"Pesanan saya bagi penternak Muslim ingatlah bahawa ada dosa dan pahala dalam urusan hidup kita.

"Terlepas di dunia bukan bermakna selamat di akhirat. Di akhirat nanti kita dihukum atas kecuaian kita terhadap orang lain," katanya lagi.