IPOH - Mendebarkan, cemas dari mula hingga akhir persembahan.

Menampilkan nama besar seperti Ellie Suriaty Omar, Aloy Paradoks dan Ard Omar, ini jadi sebab mengapa pementasan teater 'Bukan Gila' perlu ditonton.

Tidak ketinggalan kemunculan Pak Cik Raja Lawak dan Apit Wan Lebo.

Teater ini dipentaskan oleh Persatuan Kebudayaan Daerah Kinta selama tiga hari bermula malam tadi di Auditorium Jabatan Kebudayaan dan Kesenian negara Perak.

Karya ini diangkat daripada Antologi Teks Komponen Sastera (Komsas) SPM Tingkatan 5 : Sejadah Rindu dengan skrip 'Bukan Gila'
karya Sharif Shaary.

Pementasan teater ini merupakan salah satu usaha untuk memudahkan pemahaman pelajar-pelajar yang akan menduduki peperiksaan SPM.

Pengurus Produksi Teater Komsas 'Bukan Gila', Nor Aini Ismail berkata, pementasan ini membabitkan kira-kira 36 orang terdiri daripada pelakon, kru termasuk pengiring muzik.

Menurut beliau, pementasan prebiu telah diadakan malam tadi yang mana sambutan daripada penggemar seni teater adalah luar biasa.

"Pementasan seterusnya adalah malam ini dan esok iaitu pada pukul 8.30 malam.

"Teater 'Bukan Gila' karya Sharif Shaary dengan skrip pementasan juga tulisan beliau di bawah arahan Ard Omar.

"Teater ini juga merupakan inisiatif melahirkan ramai generasi yang akan mendalami kesusasteraan ibunda kita demi memartabatkan budaya bangsa seiring dengan misi industri kreatif negara.

"Justeru, orang ramai dijemput hadir menyaksikan persembahan teater ini manakala bayaran masuk hanya RM15.00," katanya.

Persembahan teater berdurasi satu jam 20 minit itu bertemakan ketabahan seorang anak muda yang terpaksa melawan penyait barah
otaknya bersendirian.

Pemuda ini, Azmir yang dianggap gila oleh keluarga dan masyarakat sehingga disisihkan sebelum meninggal dunia berseorangan.

Bagaimana pun, untuk merasai debaran kesakitan Azmir menerusi lakonan berkesan Aloy Paradoks hanya boleh dilihat menerusi pementasan teater 'Bukan Gila'.

Sebarang pertanyaan dan maklumat lanjut mengenai program ini, bolehlah menghubungi talian 017–255 8059.