TANJUNG MALIM: Menghayati kisah sejarah bukanlah hanya menerusi pembacaan namun ianya boleh dihayati menerusi pelbagai cara.

Mural yang dilukis di Lorong Seni Muallim, mampu menarik perhatian para pengunjung sekali gus dapat mengetahui kisah pergolakan sewaktu di zaman perang.

Mural yang menggambarkan kisah Battle of Slim River sewaktu Perang Dunia Kedua itu, merupakan sentuhan artis tempatan berbakat besar iaitu Mohd Afiq Othman atau dikenali sebagai Bop Sopan.

Menurut Setiausaha Persatuan Warisan Perak, Nor Hisham Zulkiflee, mural tersebut banyak mengetengahkan sejarah peperangan di Slim River iaitu di Trolak dan Slim Village.

"Mural itu turut disediakan dengan kod QR yang boleh diimbas oleh pengunjung bagi mendapatkan maklumat serta kisah lukisan tersebut.

"Sambutan daripada pengunjung begitu menggalakkan termasuk peminat sejarah, pihak tentera yang membuat kajian dan pelancong asing," katanya.

Katanya lagi, inisiatif lorong seni itu juga tercetus rentetan bandar Tanjung Malim diisytiharkan sebagai bandar mesra belia.

Tambahnya lagi, peranan Majlis Daerah Tanjong Malim dalam mengangkat nilai sejarah itu juga wajar diberikan pujian.

"Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di negeri ini telah mula mengetengahkan lorong seni dan mural tentang keunikan setempat.

"Ini satu perkembangan positif, kerana ianya boleh dijadikan produk pelancongan tempatan yang unik," katanya.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai penambahbaikan yang boleh dibuat untuk masa hadapan, Nor Hisham berharap supaya disediakan kemudahan maklumat yang lebih mudah untuk pengunjung.

"Tidak semua pengunjung tahu gunakan gajet atau teknologi, kebanyakan mural yang ada di kawasan tertentu menggunakan kod QR, tiada papan informasi.

"Adalah lebih sesuai jika disediakan sekali papan informasi untuk yang tiada gajet atau untuk warga emas," katanya lagi.

Bercerita lebih lanjut tentang Battle of Slim River, beliau memberitahu ia merupakan kisah penting bagi sejarah negara.

Katanya, kekalahan tentera British kepada Jepun di dalam pertempuran tersebut, mengakhiri harapan British dalam mempertahankan Tanah Melayu.

"Ia merupakan pertempuran yang berlaku pada 7 Januari 1942, yang mana lebih kurang 20 kereta kebal Jepun telah berjaya memusnahkan dua brigade tentera British yang bertahan di Trolak dan Slim River.

"Hanya dalam tempoh masa lima hingga enam jam sahaja, Jepun berjaya menawan kedua-dua jambatan di Trolak dan Slim River.

"Lebih kurang 3,000 tentera British berjaya ditawan dan banyak senjata dirampas. Ia menjadi kenangan besar buat tentera Jepun ketika menyerang Tanah Melayu ketika itu," katanya.

 

Ends//