IPOH: Buat julungkalinya Pendidikan Perubahan Iklim khusus untuk warga Pendidik di bawah Program Eco-Schools disampaikan dengan jayanya kepada 35 orang guru di Perak.

MB Inc. Perak dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perak menjadi organisasi pertama yang menyambut baik penganjuran latihan ini yang melibatkan guru di negeri ini.

Kursus ini menjadi pemangkin untuk menyampaikan latihan yang jitu dan transformatif bagi warga pendidik, membolehkan pembelajaran yang fleksibel, pantas dan sekata untuk mencapai misi 1,000 Eco-Schools menjelang 2025 serta sejajar dengan visi kebangsaan dan agenda United Nations 2030.

Ketua Eksekutif Green Growth Asia Foundation (GGAF), Balamurugan Ratha Krishnan menyatakan penghargaannya kepada JPN Perak dan MB Inc. Perak yang menjadi perintis kepada latihan ini.

“Program Eco-Schools Perak dilaksanakan dengan penuh komitmen, sokongan dan semangat di antara JPN Perak, MB Inc. Perak dan penaja.

"Kini, pendidik di negeri Perak bersedia dengan pengetahuan dan alat bantuan mengajar pendidikan perubahan iklim. Saya sungguh yakin bahawa masa depan negeri ini untuk merealisasikan bandar rendah karbon, bandar pintar dan agenda Perak Bumi Lestari dapat dijayakan dalam masa yang lebih singkat.

"Kami sedang bersiap sedia ke arah rakyat Malaysia mengihsani konsep Individual Climate Action di dalam kehidupan seharian mereka, di mana jua mereka berada.Kami berharap semua warga pendidik di Perak menjadi Pendidik Perubahan Iklim yang bertauliah menjelang 2025, katanya.

Jurulatih Master Class Trainer dan Pengasas Language Works, Brian Cracknell pula berkata, objektif penyampaian kursus ini ialah untuk menggalakkan penyertaan, menjadi pemudah cara dan memberi pendedahan terhadap kemahiran pembelajaran di kalangan pendidik serta pemahaman akan cabaran dan kaedah bagi mereka untuk memberi panduan kepada anak murid.

"Daripada perspektif lain, inilah warga pendidik yang akan memacu pembangunan masyarakat yang berdaya tahan dan menyumbang secara aktif kepada pelaksanaan UN SDG di peringkat tempatan,"katanya.

Timbalan Pengarah Pembangunan Murid JPN Perak, Zulkafli Mohd Mokhtar berkata, program Eco-Schools tekah rancak dilaksanakan di sekolah-sekolah negeri Perak.

"Misi kami adalah untuk memastikan bahawa pendidikan alam sekitar program ini menjana generasi pelajar dan pendidik di Perak yang berilmu dalam perubahan iklim," katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MB Inc. Perak, Anuar Zainal Abidin berkata, MB Inc. Perak sangat komited menjadi penggerak utama kepada program Eco-Schools Negeri Perak.

"Selari dengan agenda Kerajaan Negeri, Perak Bumi Lestari, kami gembira menjadi negeri pertama di Malaysia yang menganjurkan latihan Pendidikan Perubahan Iklim kepada warga Pendidik di Perak.

"Sudah tentu ianya akan memacu dengan lebih cepat lagi misi kita untuk menggalakkan gaya hidup hijau di kalangan generasi muda," katanya.