IPOH - Cadangan untuk menempatkan semula penjaja tepi jalan di Taman Rekreasi Sultan Abdul Aziz atau lebih dikenali sebagai Padang Polo mendapat reaksi positif orang ramai yang mahu isu kesesakan di situ ditangani.

Walaupun kehadiran penjaja ini memeriah dan menghidupkan persekitaran taman rekreasi itu, namun ia perlu diuruskan secara teratur.

Ini kerana tanpa kawalan, dibimbangi lama kelamaan lokasi ini akan dipenuhi lebih ramai penjaja lantas fungsi taman ini sebagai lokasi riadah bertukar menjadi tempat makan-makan.

Keadaan bertambah teruk apabila kelompok penjaja ini sebenarnya berniaga di kawasan tempat letak kenderaan dan bukannya lot niaga khusus.

Budaya cop parking ini sebenarnya satu kesalahan di bawah Seksyen 50(3) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana petak parkir itu adalah hak milik awam.

Sebenarnya, tiada mana-mana individu boleh mendesak atau menghalang individu lain daripada menggunakan petak parkir itu.

Jika sabit kesalahan, pelaku ini boleh dikenakan denda maksimum RM2,000 atau penjara tidak lebih enam bulan seperti yang diperuntukan dalam Seksyen 119 (2) APJ 1987.

Menerusi komen daripada warga Ipoh yang diterima Peraktastic, ramai yang mahu Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) bertegas dalam isu ini tetapi pada masa menghidupkan Padang Polo.

Kebanyakan mereka tidak menafikan kehadiran penjaja membolehkan pengunjung beriadah sambil membeli makanan.

Petugas swasta, Amalina Abu Bakar berkata, kesesakan yang berlaku di Padang Polo berpunca daripada sikap segelintir pengunjung yang memberhentikan kereta di tengah jalan.

Mereka yang bersikap mementingkan diri ini mengambil jalan mudah dan sanggup membiarkan pemandu lain menunggu sehingga selesai membeli.

"Ramai yang bersikap sedemikian menyebabkan timbul kemarahan pada pengunjung lain.

"Ada juga penjaja yang tak kisah dan buat-buat tidak nampak jalan sesak dengan kereta yang beratur panjang," ujarnya.

Pengunjung lain, Osman Afandi pula memberitahu, Padang Polo adalah kawasan riadah dan bukannya tempat menjual makanan apabila kehadiran penjaja ini dilihat bertambah ramai.

"Maaf cakap, penjaja ini seolah-olah memonopoli kawasan tepi jalan sedangkan ini kawasan rekreasi.

"Bila berlaku kesesakan kita tidak sepatutnya bersetuju pada perkara yang menyusahkan orang lain," ujarnya.

Pengalaman dimarahi individu dipercayai penjaja pernah dialami Ahmad Zahari Khalis semasa pulang bercuti ke Ipoh baru-baru ini.

Dia yang menetap di Kajang memaklumkan, tidak tahu rupa-rupanya telah meletakkan kereta di petak parkir yang digunakan penjaja.

"Saya bersama keluarga sedang makan di Padang Polo sebelum didekati seorang lelaki minta pindahkan kereta segera.

"Berdasarkan gaya saya rasa dia salah seorang penjaja di situ sebelum sebuah lori kecil mengambil tempat parkir yang saya tinggalkan.

"Sedangkan itu adalah tempat parkir awam dan bukan tapak pasar malam atau untuk jualan," keluhnya.

Kelmarin, pihak MBI telah mengadakan sesi taklimat penempatan semula penjaja Padang Polo yang dipengerusikan oleh Setiausaha Bandaraya, Ahmad Munir Ishak di Bilik Gerakan MBI.

Seramai 60 peniaga di sekitar Padang Polo akan dipusatkan di satu kawasan yang bakal menjadi salah satu hub makanan serta tarikan pengunjung luar di bandaraya Ipoh.

Sesi taklimat turut dihadiri ADUN Canning, Jenny Choy dan wakil kepada Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Sandrea Ng.