IPOH - Orang-orang 'Kuale' yang sedang mengintai peluang kerja khususnya golongan belia dipelawa hadir pada Jelajah Karnival Kerjaya Perak Sejahtera Daerah Kuala Kangsar 2023 esok.

Karnival kerjaya ini akan diadakan di Dewan Chandan Putri bermula pukul 11 pagi.

Sebanyak 3,285 kekosongan jawatan ditawarkan melibatkan 11 majikan yang menyertai karnival tersebut yang dikelolakan Pusat Aspirasi Anak Perak (Pasak).

Antara syarikat yang terlibat ialah Puncak Emas Infra Sdn. Bhd., Yamaha Electronics Manufacturing (M) Sdn. Bhd., Segi Cash & Carry Sdn. Bhd. dan 99 Speedmart Sdn. Bhd.

Turut serta Penang Youth Development Corporation (PYDC), Synergy Alliance Solutions Sdn. Bhd., RSA Laris Utara Sdn. Bhd. (Mat Rock) dan Power IT Solutions Sdn. Bhd.

Sementara itu, Pengurus Besar Pasak, Fikri Junit memberitahu, karnival tersebut merupakan kelangsungan daripada program serupa yang dijalankan tahun lalu di Ipoh.

"Pasak selaku agensi di bawah portfolio Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia negeri sentiasa mencari jalan memudahkan pencari kerja dalam kalangan anak-anak tempatan.

"Justeru, peluang seperti ini tidak harus dilepaskan yang mana para belia boleh datang merebut peluang-peluang pekerjaan yang tersedia," ujarnya.

Tambah beliau lagi, dengan membawa karnival ke daerah-daerah ia mendekatkan lebih banyak peluang pekerjaan kepada golongan sasar.