Oleh Balqis Jazimah Zahari

KUALA KANGSAR: Pameran dan Bengkel Ilham Mataku 'Expression from the Heart' menyumbangkan dana sejumlah RM15,000 kepada seramai 30 ibu tunggal yang menyertai program berkenaan.

MB Inc, Lembaga Air Perak, Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (SADC Perak) dan kerajaan negeri Perak menerusi Exco YB Salbiah Mohamed yang menyumbangkan dana kepada program ini. Sebahagiannya diagihkan kepada kesemua ibu tunggal yang turut sama menghasilkan karya seni lukisan untuk dipamerkan sempena program itu.

Program hasil cetusan idea YM Raja Putra Shah itu dijayakan bersama karyawan seni tempatan yang disokong oleh barisan panel penasihat tersohor dan Pertubuhan Wanita Prihatin Perak yang menjalinkan kerjasama strategik bersama syarikat Art Case Gallery, Al-Najwa Productions, ICOMM Creative dan Nerv Global.

Raja Puan Muda Perak, Tunku Soraya Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah berkenan berangkat bagi merasmikan program berkenaan yang diadakan di Hotel Casuarina Kuala Kangsar di sini semalam.

Hadir sama mengiringi, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat dan Pembangunan Usahawan negeri, Salbiah Mohamed; Pengerusi HeArt & Craft, Raja Putra Shah; Ketua Mentor, Kurator dan Artis Antarabangsa Art Case Gallery, Raja Azhar Idris; Pengasas Al Najwa Production Sdn Bhd, Datuk Zunaidah Idris dan Pengerusi Pertubuhan Wanita Prihatin Perak, Noorzita Rabaai.

Salbiah berkata, program julung kali itu dijalankan sebagai usaha mewujudkan satu platform atas dan luar talian bagi golongan ibu tunggal mengeksplorasi, mencari, membangunkan dan mempamerkan bakat seni sambil berpeluang menjana pendapatan menerusi kemahiran seni melukis dan kraftangan yang dipelajari atas tajaan strategik.

"Seperti semua sedia maklum, Belanjawan Negeri Perak 2023 bertemakan 'Perak Makmur, Rakyat Sejahtera' diluluskan di Dewan Negeri Perak dan menjadikan Kesejahteraan Rakyat sebagai fokus utama melibatkan peruntukan sebanyak RM380.9 juta iaitu 38 peratus dari keseluruhan Belanjawan Negeri Perak.

"Inilah gambaran dan cerminan yang jelas, bahawa kerajaan hari ini akan meletakkan kebajikan dan kepentingan rakyat terbanyak termasuk kumpulan ibu tunggal untuk terus diupaya dan dibela," katanya ketika berucap pada majlis berkenaan.

Katanya, ia juga menjadi iltizam Kerajaan negeri untuk terus berusaha sedaya upaya membantu golongan sasar ibu tunggal agar tidak terpinggir dan sentiasa diupayakan.

"Majlis hari ini menjadi contoh yang amat baik untuk digambarkan pada semua pihak bahawa setiap dari kita mempunyai peranan yang sangat signifikan untuk membantu golongan ini untuk terus maju dan berjaya," katanya.

Selain penampilan hasil seni lukisan ibu tunggal, program yang bermula jam 11 pagi hingga 6 petang semalam itu juga dipadatkan dengan pelbagai aktiviti seperti mencanting batik oleh pelajar sekolah, melukis muka dan pameran jualan seni.

Pada penghujung majlis, YM Raja Azhar Idris bersama salah seorang ibu tunggal menghasilkan demonstrasi lukisan. Lukisan tersebut telah berjaya mencuri hati seorang usahawan, Dato’ Dr. Stanley Chew. Beliau telah membelinya pada harga RM6,000 pada satu sesi lelongan. -PERAKTASTIC-