Oleh Balqis Jazimah Zahari

IPOH: Dalam usaha memperteguhkan nilai integriti dan memerangi rasuah serta sebarang risiko atau kos yang terselindung berkaitan dengan kegiatan rasuah dalam perkhidmatan, Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) buat julung kalinya mengadakan ’Program Bual Bicara Integriti'

Sesi bual bicara bersama Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri, Sandrea Ng itu berlansung di Dewan Azlan Shah, Tingkat 10, Bangunan MBI di sini pagi tadi.

Program turut dihadiri oleh Setiausaha Bandaraya,Ahmad Munir Ishak, Pengarah Kanan dan Ketua Jabatan MBI dan Ahli Majlis MBI.

Warga MBI sentiasa mengambil berat isu berkaitan rasuah dan pelbagai aktiviti dirancangkan antaranya taklimat integriti, ceramah berkaitan kesan penyalahgunaan rasuah, hebahan bahan cetakan dan sebagainya.

Di antara pencapaian dan usaha yang telah dan akan dilaksanakan bagi mengekang perlakuan rasuah di Majlis adalah:

1. Pelan Anti Rasuah Organisasi MBI 2021-2025 yang dilancarkan pada 2 September 2021;

2. Merangkul Gangsa dalam Anugerah Integriti, Governans dan Antirasuah (AIGA) 2022 pada 17 Januari 2023;

3. Peningkatan imej Majlis menerusi pengiktirafan profesionalisme Pegawai Majlis melalui penglibatan aktiviti atau pekerjaan luar;

4. Pengisytiharan harta penjawat awam diteruskan dan diperluaskan kepada semua gred;

5. Pelaksanaan Program Pegawai Integriti Bertauliah (CEIO) untuk pegawai-pegawai integriti;

6. Pensijilan semula MS ISO 37001: 2016 Anti Bribery Management Systems (ABMS) yang dijangka akan dilancarkan pada 2024;

7. Meneruskan program-program pengukuhan integriti yang berkualiti untuk terus membimbing dan menerapkan nilai-nilai positif dalam diri kakitangan awam dan swasta negeri.

Ahmad Munir dalam ucapannya yang mewakili Datuk Bandar Ipoh menyatakan bahawa MBI tidak akan sesekali melindungi mana-mana pihak yang terlibat dengan rasuah.

Menurut beliau, sebarang bentuk ketirisan wang awam yang disebabkan oleh perlakuan rasuah akan dihentikan serta-merta dan tindakan tegas berlandaskan undang-undang akan diambil.

”MBI juga tidak akan berkompromi dengan pelaku rasuah dan akan memberi kerjasama penuh kepada pihak Suruhan Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) supaya sesiapa yang didapati bersalah, perlu menerima hukuman yang setimpal dengan perbuatannya.

”Tidak kira walau apa jua agama, aktiviti rasuah amat keji dan dibenci, manakala daripada segi moral, perbuatan memberi dan menerima rasuah adalah tidak berintegriti. Individu yang dihukum atas kesalahan rasuah bukan sahaja dibenci, malahan keluarganya turut akan dihina.

”Perbuatan rasuah juga akan menyebabkan imej, persepsi dan kepercayaan masyarakat terjejas kepada sesuatu organisasi. Bak kata pepatah, ‘Kerana Nila Setitik, Rosak Susu Sebelanga’,” katanya.

Katanya, warga MBI diharapkan akan menjauhi perbuatan rasuah demi menjaga imej baik diri sendiri, keluarga dan MBI dalam mencari rezeki yang halal lagi diberkati serta sentiasa bersyukur dengan rezeki yang diterima dengan bekerja bersungguh-sungguh dan berusaha memajukan diri dengan kudrat sendiri.