IPOH - Lalaland Cafe yang mengetengahkan konsep cafe kontena menjadi tarikan baharu pada penggemar gastronomi di bandaraya ini sekaligus mencetak nama sebagai lokasi wajib kunjung.

Terletak di Jalan Lasam di sini, cafe kontena ini nyata berlainan apabila menimbulkan suasana ceria pada warna-warni premis yang melambangkan kegembiraan.

Lalaland Cafe disiapkan hanya dalam tempoh tiga bulan dengan mengambil kira konsep restoran seperti di Amerika Syarikat.

Pemilik cafe, Chong Jin Wu berkata, idea untuk menceburi perniagaan ini timbul semasa tempoh pandemik apabila memikirkan sebuah cafe yang berbeza.

"Setelah dipersetujui rakan kongsi, kami memutuskan memilih lokasi di sini kerana kedudukannya yang strategik.

"Kami mengubah kontraktor untuk menyiapkan binaan asas kontena ini sebelum memikirkan konsep makanan.

"Ketika ini Lalaland Cafe menyajikan masakan berasaskan ayam dan makanan barat lain," ujarnya kepada Peraktastic.

Semalam majlis perasmian kafe ini telah disempurnakan oleh Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin.

Menurut Jin Wu, beliau dan rakan kongsi membelanjakan kira-kira RM800,000 bagi membuka kafe tersebut.

Kafe ini boleh memuatkan sehingga 200 pelanggan termasuk di ruang terbuka yang membolehkan pengunjung melihat pemandangan sekeliling.

"Untuk masakan kepak dan jejari ayam, kita menggunakan resepi sendiri manakala bekalan mentah diperolehi daripada pembekal tempatan.

"Kafe ini sesuai untuk semua peringkat usia dan semestinya mereka yang datang bersama keluarga dan anak-anak.

"Pengunjung tidak perlu ragu-ragu kerana petugas kafe semuanya anak-anak tempatan. Pada masa sama kita juga sedang memohon untuk mendapatkan pensijilan halal," ujarnya.

Klik pautan di bawah untuk video:

https://www.instagram.com/reel/CoqlvTUJtjJ/?igshid=YmMyMTA2M2Y=