Oleh Balqis Jazimah Zahari

IPOH: Pantai Hospital Ipoh melancarkan menu baharu khas bagi pesakit yang berada di dalam wad (inpatient) hari ini.

Selebriti Chef Datuk Fazley Yaakob hadir bagi sesi makan tengahari sekali gus melancarkan menu baharu itu di hospital berkenaan di sini hari ini.

Hadir sama ke majlis berkenaan, Ketua Pegawai Eksekutif Hospital Pantai Ipoh, Chong Siet Fong.

Program yang dihadiri pihak media, rakan kongsi sokongan itu bertujuan memperkenalkan hidangan menu baharu itu yang disediakan oleh chef hospital dan dikendalikan sendiri oleh Chef Dato' Fazley.

Demi mengutamakan keselesaan serta makanan berkhasiat kepada pesakit di dalam wad menu baharu ini merupakan antara hidangan kegemaran rakyat Malaysia.

Menu berkenaan adalah Nasi Dulang Nusantara dan Nasi Goreng Ayam Salai Lemak Cili Api.

Kini, pesakit di dalam wad boleh menikmati pilihan makanan yang bukan sahaja berperisa tetapi penuh dengan khasiat.

Bagaimanapun, hidangan menu baharu itu bukanlah menjadi pilihan kepada semua pesakit, ia hanya dihidangkan kepada pesakit biasa dan bukan kepada pengidap penyakit kronik seperti sakit kencing manis, jantung dan lain-lain.

Chong berkata, pengalaman pesakit di dalam hospital merupakan keutamaan bagi pihak hospital.

"Selain daripada rawatan dan ubat-ubatan, kami memastikan pemulihan pesakit dijaga. Hal ini kerana, persekitaran hospital yang selesa dan menyenangkan memberi kesan positif kepada pemulihan pesakit.

"Makanan kepada pesakit di wad adalah sebahagian daripada pengalaman di hospital," katanya ketika berucap di majlis berkenaan.

Tambahnya, pihaknya mendapati bahawa makanan sangat penting kepada pesakit kerana deria rasa dalam keadaan tidak normal mengakibatkan mereka kurang berselera.

"Ianya mengakibatkan nutrisi makanan tidak dapat diserap dengan baik untuk mempercepatkan proses pemulihan pesakit. Namun kami dapat mengatasi cabaran ini dengan bantuan Chef Dato' Fazley Yaakob," katanya. -PERAKTASTIC-