IPOH: Isu anjing liar yang mengganggu ketenteraman orang ramai di sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Manjoi di sini, dilihat semakin meruncing dan mendatangkan kecederaan kepada penduduk.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manjoi, Hafez Sabri, antara kawasan panas yang kerap kali membabitkan isu itu termasuk di Chepor, Chemor, Klebang dan Meru.

"Isu anjing liar di sekitar DUN Manjoi semakin bahaya, hingga menyebabkan kecederaan masyarakat setempat.

"Saya telah menerima banyak laporan berkaitan isu anjing liar yang mengganggu orang awam dan kucing peliharaan pun banyak mati disebabkan anjing liar.

Saya turun sendiri melihat kawasan anjing liar berkeliaran yang sangat mengganggu orang ramai di kawasan DUN Manjoi ini.

"Kes terbaru ada anak kita terjatuh dari motor yang ditunggang oleh neneknya ketika bersiar-siar dalam kawasan taman perumahan, anak ini terjatuh sebab bajunya digigit dua ekor anjing liar dari belakang," katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.

Jelasnya, kes berkenaan berlaku di sekitar Taman Tawas Mewah berdekatan Kg Sri Klebang.

Tegasnya lagi, mangsa turut mengalami kecederaan patah tangan dan luka di beberapa bahagian badan.

Ujar Hafez lagi, beliau mahu isu ini diselesaikan dengan segera oleh pihak berkuasa sebelum kejadian lebih buruk berlaku di masa hadapan.

"Sesiapa yang tinggal di dalam DUN Manjoi khususnya yang mahu laporkan berkenaan isu anjing liar boleh beritahu secara spesifik lokasi dan tempat di mana ia berlaku untuk saya bawa terus aduan ini kepada pihak berwajib," katanya.