IPOH - Setiap daerah di Perak akan mempunyai sebuah pusat dialisis bagi memberikan rawatan kepada golongan asnaf yang dibantu oleh Majlis Agama Islam negeri Perak (MAIPk).

Ia melibatkan kos antara RM2 juta hingga RM2.5 juta bagi setiap pusat dialisis untuk menampung 132 pesakit.

Inisiatif ini bakal dijayakan menerusi kerjasama yang dimeterai antara Hospital Ar-Ridzuan dan Nephrocare Management Sdn Bhd (NMSB) di hari ini.

Memorandum perjanjian dimeterai antara Pengerusi Hospital Ar-Ridzuan, YDH Toh Tan Dewa Sakti Zulkifly Dato' Zakaria manakala NMSB diwakili Ketua Pegawai Eksekutif, Dato’ Suib Ahmad.

Pemeteraian memorandum ini disaksikan Yang Dipertua MAIPk, Tan Sri Mohd. Annuar Zaini dan Pengerusi Kumpulan NMSB, Senator Tan Sri Datuk Dr. Mohamed Haniffa Abdullah

NMSB dipilih sebagai rakan strategik berdasarkan pengalaman dalam pengoperasian pusat dialisis dengan beberapa agensi kerajaan.

Ketika ini Hospital Ar-Ridzuan mempunyai dua pusat dialisis iaitu di Ipoh dan Manjung.

Sementara itu, Pengurus Besar Hospital Ar-Ridzuan, Dahari Masud berkata, perjanjian ini merupakan antara inisiatif berimpak tinggi kepada pesakit-pesakit dialisis untuk mendapatkan tempat rawatan yang kondusif dan selesa.

Menurut beliau, penyediaan pusat ini memastikan kemampanan dana dan bukan mewujudkan persaingan dalam kalangan pengusaha dialisis di negeri Perak.

"Kolaborasi strategik ini menjangkakan pembukaan sekurang-kurangnya satu pusat dialisis di setiap daerah untuk menampung keperluan rawatan.

"Ia sejajar dengan pertambahan pesakit yang memerlukan rawatan terutamanya mereka yang dibiayai oleh Majlis Agama Islam negeri Perak (MAIPk)," ujarnya semasa berucap pada majlis tersebut.

Setiap tahun MAIPk memperuntukkan sebanyak RM24 juta kepada golongan asnaf bagi membiayai pelbagai rawatan kesihatan termasuk dialisis.

Justeru, inisiatif ini secara tidak langsung dapat membantu meringankan beban penerima kemudahan dialisis yang majoritinya merupakan golongan B40.