Oleh Balqis Jazimah Zahari

GOPENG:Selepas penantian hampir setahun, akhirnya waris salah seorang daripada dua mangsa yang tertimbus dalam insiden runtuhan batu kuari di Keramat Pulai, Simpang Pulai di sini Mac tahun lalu mendapat pengesahan identiti daripada pihak berkuasa.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Sandrea Ng berkata, beliau melawat ke Kampung Ulu Jelintuh bagi memberi penghormatan terakhir kepada mendiang Itam Lasoh.

"Selepas hampir setahun, akhirnya pihak keluarga mendapat pengesahan identiti daripada pihak berkuasa.

"Kejadian ini sememangnya suatu ujian yang mencabar buat keluarga mendiang," katanya melalui satu kenyataan di Facebooknya semalam.

Sandrea berkata, sedikit sumbangan dihulurkan serta beliau membincangkan isu kebajikan dan perancangan pihak keluarga dalam masa akan datang.

"Saya juga akan mengambil tindakan susulan agar semua agensi berkenaan menyediakan laporan terperinci untuk kita lebih memahami kejadian tersebut dan berusaha meningkatkan keselamatan di kawasan kuari.

Media sebelum ini melaporkan, Proses pemadanan sampel asid deoksiribonukleik (DNA) kedua-dua mangsa yang maut tertimbus dalam insiden runtuhan batu kuari di Keramat Pulai, Simpang Pulai mengambil masa sekurang-kurangnya dua bulan.

Ketua Polis Daerah Ipoh Asisten Komisioner Yahaya Hassan dilaporkan berkata, ia mengambil masa yang agak lama bagi mendapatkan hasil keputusan DNA terutama bagi sampel yang berada di luar negara untuk pengesahan identiti.

Terdahulu, kejadian runtuhan batu di tapak kuari, kira-kira jam 9.15 pagi pada 8 Mac tahun lalu menyebabkan dua mangsa tertimbus iaitu Itam Lasoh dan Kheow Loo Siew Soon.