IPOH - Banyak pengetahuan baharu dalam aspek penulisan diperolehi para peserta yang mengikuti Kursus Penulisan Artikel anjuran Talent Perak semalam.

Perkongsian ini membantu para peserta untuk menajamkan kemahiran menulis sedia ada sekali gus boleh mengembangkan bakat.

Peserta kursus, Anuar Affandy Ahmad berkata, dia dapat menimba pengetahuan baharu khususnya dalam aspek pengurusan media dan suntingan.

Menurutnya, banyak panduan disampaikan misalnya bagaimana menulis permulaan artikel atau intro.

"Sebagai penulis untuk jabatan, sesi ini sangat membantu dalam menambah kemahiran kerja.

"Ia menepati tujuan saya hadir iaitu untuk mendapatkan pengetahuan baharu," ujar pegawai Unit Media Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Pengguna negeri Perak ini.

Bagi perancang kewangan, Zafiq Syaddiq Radzi, sesi yang berlangsung secara santai itu juga memberi ruang para peserta untuk bertanyakan pelbagai soalan.

Katanya, banyak input-input diterima yang mana ia boleh membantu beliau untuk menghasilkan bentuk penulisan dengan lebih baik.

"Saya misalnya kerap menulis tentang aspek kewangan dan hal-hal berkaitan dalam laman media sosial peribadi.

"Dengan input yang diperolehi pada kursus ini ia turut menyuntik keyakinan saya untuk terus berkarya," ujarnya.

Seramai 30 orang peserta menyertai kursus ini yang diadakan di Pusat Latihan Pusat Aspirasi Anak Perak (Pasak) di Jalan Raja Musa Mahadi di sini.

Antaranya pegawai media, penjawat awam, pensyarah, wakil pertubuhan bukan kerajaan, pelajar dan mereka yang meminati bidang penulisan.

Kursus dikendalikan oleh wartawan dan kolumnis bebas, Zaki Salleh yang sebelum ini pernah menjawat sebagai Penolong Pengarang Berita di akhbar Kosmo!

Beliau yang mempunyai pengalaman 25 tahun dalam bidang kewartawanan juga merupakan salah seorang penulis di laman media online Peraktastic.