Oleh Balqis Jazimah Zahari

IPOH: Pasangan pemain tenis wanita Yu-Yun Li (Taipei)-Anastasiia Poplavska (Ukraine) muncul juara dalam final acara beregu di Kejohanan Tenis Sanctband ITF World Tenis Tour yang berlangsung Arena Tenis Perak di Ipoh pada Sabtu.

Gandingan beregu wanita dari negara Taipei-Ukraine itu berjaya menewaskan pasangan Feng Shuo-Guo Hanyu dari China dengan catatan mata 7-5, 6-2.

Media sebelum ini melaporkan, Dua pasangan bukan pilihan melakukan kejutan dengan mara ke final acara beregu kejohanan Tenis Sanctband ITF World Tenis Tour di gelanggang Arena Tenis Perak di sini.

Menurut laporan itu, pasangan dari China, Feng Shuo-Guo Hanyu mempamer persembahan cemerlang ketika mengecewakan pilihan utama, Gozal Ainitdinova-Anastasia Sukhotina 6-3, 6-4.

Pasangan Yu-Yun Li ( Taipei)-Anastasiia Poplavska (Ukraine) terpaksa bekerja keras sebelum mengatasi gandingan Easwaramurthi Ashmi-Ito Aoi (India-Jepun) 7-6(6), 7-5.

Sementara itu, seperti yang dijangka pilihan utama acara perseorangan, Lanlana Tararudee (Thailand) yang mara ke separuh akhir sebelum ini muncul juara menumpaskan Jaeda Daniel dari USA bagi final acara perseorangan yang berlangsung di arena semalam.