IPOH: Kerajaan negeri memerlukan kerjasama menyeluruh daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam menggerakkan kempen trap-neuter-release (perangkap-mandulkan-lepaskan) anjing liar.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri, Sandrea Ng Shy Ching, usaha itu penting dalam memastikan isu anjing liar yang kian membimbangkan di beberapa kawasan di negeri ini dapat diselesaikan secara tuntas.

"Baru-baru ini saya sudah berjumpa dengan pihak NGO kerana dalam isu anjing liar ini, memang kita amat perlukan kerjasama menyeluruh bukan sahaja PBT, tetapi juga NGO dalam kempen trap-neuter-release.

"Secara tidak langsung ia dapat mengurangkan populasi (anjing liar), selain itu kerajaan negeri juga dalam tindakan untuk merangka pelan tindakan untuk isu anjing liar.

"Sebelum ini pun tidak kira di Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), dan sebagainya memang ada aduan rakyat tentang anjing liar yang sangat merisaukan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Angkat Sumpah Ahli Majlis bagi tempoh 16 Februari 2023 hingga 15 Februari 2024 di Dewan Mesyuarat Majlis Bandaraya Ipoh (MBI), di sini, semalam.

Sandrea berkata demikian sebagai mengulas insiden kanak-kanak perempuan yang terbabit kemalangan akibat dikejar anjing liar di sekitar DUN Manjoi baru-baru ini.

Difahamkan kanak-kanak tersebut patah patah tangan dan cedera di beberapa bahagian badan akibat terjatuh dari motor, yang ditunggang oleh neneknya di kawasan taman perumahan.

Sementara itu, beliau berkata pihaknya peka dengan kejadian itu dan mengambil maklum dengan melaksanakan langkah penguatkuasaan lebih ketat berhubung isu tersebut.

"Dalam pelan tindakan itu termasuk penyelesaian jangka pendek yang lebih fokus kepada penguatkuasaan dan kempen kesedaran, termasuk proses memandulkan (anjing liar).

"Selain itu kita sedang melihat sistem yang dapat mengawal pemilik anjing, kerana salah satu punca kepada isu ini ialah apabila mereka bela anjing dan selepas beranak-pinak, ia dibuang merata tempat," katanya lagi.