IPOH: Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) akan mengadakan pertemuan semula dengan tujuh penjaja berlesen di Taman Rekreasi Sultan Abdul Aziz (Padang Polo), di sini yang dikatakan tidak bersetuju dengan cadangan pemindahan peniaga ke lokasi baharu.

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin berkata pihaknya akan memanggil semula kesemua tujuh penjaja tersebut dalam masa terdekat, bagi rundingan menyelesaikan isu tersebut.

"Saya tahu ada tujuh penjaja berlesen ini kita akan panggil semula untuk berunding dalam masa terdekat, lepas sesi rundingan saya akan maklumkan keputusannya.

"Ia di bawah bahagian Perlesenan, kita akan panggil mereka bersama-sama penjaja ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditanya pemberita mengenai isu tujuh penjaja berlesen di Padang Polo yang tidak bersetuju dengan cadangan penempatan semula kesemua peniaga ke lokasi baharu.

Ini kerana mereka mendakwa lokasi baharu yang dicadangkan di kawasan berdekatan disifatkan tidak bersesuaian dan tidak praktikal kepada penjaja mahupun pembeli.

Sementara itu, ketika mengulas lanjut berhubung dakwaan lokasi baharu penjaja tersebut yang tidak strategik, Rumaizi berkata ia hanyalah andaian pihak tertentu.

"Kalau hendak kata tiada orang (pembeli) akan masuk ke kawasan baharu itu, tidak boleh juga sebab ada restoran di kawasan sama maju operasinya, jadi itu hanyalah andaian," katanya lagi.

Rumaizi menambah sehingga kini terdapat 60 penjaja di Padang Polo, tujuh daripadanya berlesen dan selebihnya tidak berlesen.

Terdahulu, Rumaizi ditemui pemberita pada Majlis Anugerah Khidmat Cemerlang MBI di sini.

Dalam majlis tersebut, 168 warga MBI menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) manakala 40 orang lagi menerima Anugerah Keterampilan.