IPOH - Bonanza Educare Sdn. Bhd. (BE) telah memeterai persefahaman dengan Universiti Terbuka Wawasan (WOU) bagi meningkatkan kerjasama antara kedua-dua kumpulan pendidikan.

Ia melibatkan peluang latihan kepada pelajar WOU dalam mengukuhkan pengetahuan serta kemahiran industri mereka di lokasi pembelajaran kendalian BE.

Kerjasama ini juga membuka ruang kepada pengambilan calon pelajar yang sesuai dari WOU di institusi pendidikan di bawah pengurusan BE selepas tamat pengajian.

Bagi pihak WOU pula, institusi ini menawarkan program pengajiannya kepada warga kerja BE dan ahli keluarga terdekat.

Memorandum persefahaman (MoU) tersebut dimeterai antara Pengerusi dan Pengarah BE, Dato’ Lim Si Boon dan Ketua Eksekutif dan Naib Canselor WOU, Prof Dr Lily Chan.

Majlis tersebut berlangsung di ibu pejabat Bonanza Venture Holdings (BVH) Ipoh yang merupakan anak syarikat BE.

Kedua-dua kumpulan pendidikan juga berusaha untuk menjalinkan kerjasama dalam projek dan aktiviti termasuk ceramah, seminar, pembentangan dan aktiviti lain.

Turut dipersetujui ialah kerjasama dalam projek penyelidikan, pembangunan bersama dan permohonan untuk pembiayaan penyelidikan bersama.

Kumpulan Pendidikan BE adalah perintis pendidikan bertaraf kebangsaan dan antarabangsa di negara ini dengan lebih 60 tahun pengalaman.

Antara insititusi pendidikan kendalian BE ialah rangkaian Sekolah Antarabangsa Knewton, pusat pembelajaran bahasa Ipoh Learning & Training Institute, Language Labz serta taska dan tadika Kinder Labz.

Sementara itu, Lily Chan memberitahu, pihaknya amat berbesar hati untuk bekerjasama dengan BE bagi mewujudkan peluang pendidikan dan pekerjaan yang memberi manfaat pada kedua-dua pihak.

"Pelajar kami yang berpotensi turut dapat merasai manfaat daripada latihan amali dan peluang pekerjaan yang ditawarkan di BE.

“Melalui kerjasama ini, sekumpulan pakar dari WOU akan berkongsi kepakaran dan pengetahuannya dalam pelbagai bidang seperti perniagaan, sains dan teknologi.

"Universiti ini juga menyediakan pelbagai program yang boleh diakses melalui pendidikan jarak jauh dan pembelajaran fleksibel pada warga kerja BE," tambahnya.