IPOH - Satu lokasi baharu bazar Ramadan akan dibuka untuk ditawarkan kepada para peniaga yang berminat semasa bulan puasa nanti.

Bazar Ramadan Station 18 terletak di hadapan jalan masuk ke pusat beli-belah AEON Ipoh Station 18 di bawah kendalian Persatuan Usahawan Bersatu Ipoh (PUBI).

Ini adalah tapak baharu yang telah diluluskan oleh Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) dan lokasi bazar ini sangat strategik serta mampu menarik ramai pengunjung.

Pengerusi PUBI, Sharul Baha Abd Rahman berkata, lokasi berkenaan juga antara dua tapak Bazar Ramadan yang dikendalikan pihaknya tahun ini.

Menurut beliau, lokasi tersebut ialah Bazar Ramadan Taman Temara.

"Tahun ini adalah momen serta sejarah yang dikembalikan kepada semua apabila pandemik Covid-19 telah berakhir.

"Maka suasana bazar dijangka meriah serta mengembalikan semula nostalgia dan mengamit memori buat peniaga serta pengunjung bazar," ujarnya.

Tambah Sharul, para peniaga yang berminat untuk menyertai Bazar Ramadan Station 18 boleh terus menghubungi sekretariat menerusi talian 011-51850661.

Sementara itu, sebanyak 21 lokasi tapak bazar Ramadan dengan 1,384 petak untuk peniaga dibuka MBI tahun ini bagi memberi peluang para usahawan berniaga.

Seperti tahun-tahun sebelumnya, Bazar Ramadan Stadium Perak masih menjadi lokasi terbesar dengan 150 petak untuk peniaga diikuti Bazar Ramadan Medan Gopeng dengan 110 petak.