TAIPING - Sebuah jengkaut, tiga lori dengan tujuh orang petugas diperlukan untuk membersihkan kawasan sampah haram di Taman Pengkalan Cemerlang di sini.

Kerja-kerja pembersihan mengambil masa empat jam kerana lori sampah terpaksa berulang-alik sebanyak enam kali dari lokasi ke tapak pelupusan sampah di Matang.

Semuanya berpunca daripada sikap tidak bertanggungjawab segelintir masyarakat setempat yang mengambil jalan mudah membuang sampah-sarap.

Sikap sedemikian bukan sahaja mengotorkan kawasan malah dibimbangi menjadi punca penyakit termasuk menjadi tempat pembiakan nyamuk.

Sebelum ini pada Sabtu lalu, tular di media sosial tentang pemandangan sampah-sarap seperti plastik, bekas makanan dan botol-botol di kawasan di Taman Pengkalan Cemerlang.

Bagi penduduk Taiping, Mona Lisa Jefery, tindakan pantas pihak Majlis Perbandaran Taiping (MPT) membersihkan kawasan tersebut adalah dipuji.

Katanya, perkara sedemikian berlaku kerana sikap pengotor penduduk yang tidak mempedulikan aspek kebersihan.

"Susah nak cakap sama ada penduduk tempatan atau warga asing yang buang sampah sebab perkara serupa banyak berlaku.

"Mereka ambil mudah kerana tahu akan ada pihak lakukan kerja-kerja pembersihan," ujarnya.

Tindakan tegas disarankan seorang penduduk, Meor Rezal Meor Ahmadi agar mereka yang dihukum menjadi pengajaran.

"Pihak penguatkuasa kena memikirkan langkah penguatkuasaan lebih tegas, letak mata-mata untuk tangkap pelakunya," ujar beliau.

Sementara itu, MPT dalam kenyataan berharap penduduk sekitar berhenti melonggokkan sampah di kawasan berkenaan dan menguruskan sampah dengan baik.

Katanya, perkhidmatan kutipan sampah dari rumah ke rumah telah disediakan tiga kali seminggu dan sebuah tong sampah RORO ditempatkan di Pasar Taman Kaya.