IPOH: Persatuan Bangsawan Warisan Moraza, Negeri Perak (PBWM) ternyata berjaya mempertabatkan seni budaya berbilang kaum menerusi program Semarak Seni@Perak Pavillion Fest 2023.

Pengerusi PBWM, Datin Shahnoor Zuhurin Mohd Haslan Myudin berkata program itu mampu memberi pendedahan kepada generasi baharu untuk mempertahankan nilai seni dan budaya yang diwarisi.

“Media sosial seperti tiktok, facebook, twiter, instagram dan sebagainya merupakan pengaruh besar yang membawa kepada impak penularan budaya asing dalam kalangan masyarakat khususnya golongan remaja.

“Kadangkala kita sendiri merasa terasing dan tercabar dengan seni dan budaya bangsa kita sendiri akibat pengaruh budaya asing yang tertular di media sosial. Anasir ini akan mengakibatkan seni dan budaya kita semakin terpinggir dan dilupai.

“Oleh yang demikian perlulah kita bersama-sama bertanggungjawab untuk memelihara serta memartabatkan seni budaya warisan agar generasi hari ini tidak terkeliru dalam menentukan elemen hiburan dan jati diri mereka,” katanya dalam sidang media sebelum perasmian Program Semarak Seni@Perak Pavilion Fest 2023 di Aeon Big Midtown, Falim, baru-baru ini.

Berangkat sama, Raja Puan Besar, Raja Nazhatul Shima Idris Shah sekali gus berkenan merasmikan program yang berlangsung sehari itu.

Pengisian program tersebut merangkumi Bengkel Busana Tradisional Melayu, Pertandingan Busana Puteri Perak (Ikon Kesenian Negeri Perak) dan Pertandingan Tarian(Festari@Perak).

Seramai 180 orang peserta dari lima daerah dalam negeri Perak termasuk peserta-peserta dari tiga negeri lain iaitu Selangor, Kuala Lumpur dan Kedah mengambil bahagian.

Johan pertandingan Busana Puteri Perak telah dimenangi oleh Noraini Halmi, beliau menerima mock cek berjumlah RM1,000.00. Naib Johan, Nor lily Shafinaz menerima RM700.00 dan ketiga, Nurhidayah Abdul Manap menerima RM500.00.

Pertandingan Tarian kategori kanak-kanak telah dimenangi oleh kumpulan Tingkah Mahsyur, Sekolah Kebangsaan Puncak Alam 2, Selangor. Kategori remaja pula telah dimenangi oleh kumpulan Gemala Citra, Politeknik Ungku Omar. Masing-masing menerima mock cek RM1,000.00. -PERAKTASTIC-