TAIPING - Aktiviti berbasikal menjadi salah satu tarikan kepada pengunjung di Taman Tasik Taiping untuk beriadah sambil menyaksikan panorama indah.

Terbaru, tiga jenis basikal elektrik diperkenalkan Majlis Perbandaran Taiping (MPT) dengan kerjasama Syarikat Cycledios Perak Sdn. Bhd.

Masing-masing Power-Assisted Fat Angel (PA FAT), Power-Assisted Fatty Angel (PA FATTY) dan Power-Assisted Fatty + 1 Angel (PA FATTY+1).

Ini merupakan tambahan tiga jenis basikal sedia ada iaitu City Angel, Twin Angel dan Family Angel.

Ketiga-tiga jenis model basikal elektrik dilengkapi motor elektrik bagi membantu kayuhan.

Kotak bateri membekalkan kuasa maksimum 0.25 kW dengan outputnya berkurangan secara beransur-ansur dan berhenti apabila basikal mencapai kelajuan 20 kilometer sejam atau jika penunggang berhenti mengayuh.

Basikal ini memenuhi spesifikasi Malaysia Standard, MS2514:2015 Electric Bicycles (Electric Pedal Assisted Bicycles) dan mematuhi semua peraturan-peraturan yang telah ditetapkan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Ketika ini, hanya tujuh unit PA FAT disediakan dengan kadar sewaan RM20 untuk 30 minit, 16 unit PA FATTY dengan kadar sewaan RM30 untuk 30 minit dan enam unit PA FATTY+1 dengan kadar sewaan RM 35 untuk 30 minit.

Dengan pertambahan tiga basikal elektrik ini, jumlah keseluruhan basikal yang disediakan oleh pihak Cycledios adalah sebanyak 145 unit basikal di Taman Tasik Taiping.

Terdahulu, majlis pelancaran produk baharu ini telah disempurnakan oleh Yang Dipertua Majlis Perbandaran Taiping, Khairul Amir Mohamad Zubir di Taman Tasik Taiping pagi tadi.

Turut hadir ialah Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan Kedios, Dr Kedios Ooh dan CEO CycleDios, Adamms Chooi.