IPOH: Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) telah menggesa Perbadanan Aset Keretapi (RAC) untuk segera menyelesaikan isu kebersihan yang kurang memuaskan di pekarangan Stesen Keretapi Ipoh.

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin berkata, pihaknya mengambil maklum mengenai isu tersebut serta memandang serius isu kebersihan yang sedikit sebanyak mencalarkan imej bandar raya ini, khususnya apabila tahun ini merupakan Tahun Melawat Ipoh.

"Saya sudah panggil pihak RAC pada Isnin lalu, dan kita memang sudah minta mereka ambil tindakan segera tentang kerja-kerja pembersihan, termasuk tandas dan bangunan Majestic.

"Saya tidak tahu sejauh mana (pelaksanaan kerja pembersihan) tetapi setakat ini kita sudah berunding dengan mereka.

"Sebab kita tidaklah mahu saman Perbadanan Aset Keretapi ini, sebab mereka ini badan berkanun kerajaan Persekutuan, di bawah Kementerian Pengangkutan, tetapi kita sudah panggil," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditanya pemberita mengenai rungutan orang ramai termasuk pelancong luar berhubung isu kebersihan di pekarangan Stesen Keretapi Ipoh yang dikatakan tidak terjaga.

Sebelum ini tular keadaan sampah sarap yang dibuang merata-rata, termasuk lambakan najis burung yang tidak dibersihkan di sekitar bangunan bersejarah itu.

Dalam pada itu, Rumaizi menambah pihaknya terpaksa mengambil tindakan tegas jika pihak terbabit masih berdegil.

"Kalau mereka masih berdegil, saya ingat kita terpaksa ambil tindakan sewajarnya. Tetapi memandangkan mereka merupakan agensi kerajaan Persekutuan, kita harap supaya mereka faham.

"Kalau ikut kepada perbincangan dengan mereka pada Isnin lalu, mereka kata akan ambil tindakan segera untuk pastikan kebersihan terjaga," katanya lagi.

Stesen berusia lebih 100 tahun ini yang menjadi pintu masuk utama kepada pengguna rel ke Ipoh menerima kehadiran ribuan pengguna setiap hari termasuk pengunjung luar.

Terdahulu, Rumaizi ditemui pemberita pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Pelepasan Misi Bantuan Banjir MBI ke Mersing, Johor di pekarangan MBI,di sini pada Jumaat.