Oleh Balqis Jazimah Zahari

IPOH: Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) menggerakkan jentera dan kakitangan bagi misi bantuan pasca banjir di Mersing, Johor hari ini.

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin berkata, ia adalah misi bantuan banjir bencana kali kelima MBI ke negeri lain.

"Seramai 47 anggota MBI dengan lapan aset MBI iaitu empat lori, satu shovel, dua pacuan empat roda dan satu lori tangki terlibat dalam misi ini.

"Dalam tempoh setahun, ini adalah bantuan bencana banjir buat kali kelima selain daripada misi bantuan ke Bentong, Pahang; Kuala Langat, Selangor; Baling, Kedah dan Bidor," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Pelepasan Misi Bantuan Banjir MBI ke Mersing, Johor di perkarangan MBI di sini hari ini.

Rumaizi berkata, pembabitan misi ini adalah atas dasar semangat setiakawan sesama Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

"Misi ini adalah bagi membantu kawasan banjir di bawah Majlis Daerah Mersing di Pekan Mersing.

"Antara 19 bandar raya dalam negara, sebagai sebuah bandaraya atau PBT terbesar dalam negara ini kita mengambil tanggungjawab sosial sekiranya ada permintaan daripada mana-mana PBT yang lebih kecil untuk dibantu.

"Mersing meminta bantuan, difahamkan kawasan itu kritikal sekarang, jadi menjadi tanggungjawab sosial kita untuk membantu.

"MBI bersedia sekiranya terdapat mana-mana PBT lain di Johor memerlukan bantuan," katanya.

Beliau berkata, pasukan pertama yang dihantar ke lokasi ini akan membuat pemantauan di lokasi berkenaan.

"Pasukan akan mencuci dan mengutip sampah dan sebagainya, mungkin selepas ini kita akan hantar kumpulan kedua.

"Pasukan pertama kita hantar dalam tempoh seminggu, pasukan yang kedua juga nanti dalam seminggu," katanya.