IPOH: Kerajaan negeri akan merujuk kepada pihak berwajib berhubung isu keselamatan eskalator di Stesen Keretapi Ipoh, di sini yang dikatakan uzur dan tidak lagi sesuai untuk pengguna.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Sandrea Ng Shy Ching berkata, pihaknya mempunyai komitmen untuk memastikan kemudahan asas berada dalam keadaan baik.

"Setakat ini saya tidak terima sebarang aduan atau maklumat berhubung perkara itu, tetapi saya ambil maklum dan kita akan bincang dengan pihak berkuasa mengenai hal berkenaan.

"Sebab kita ada komitmen untuk pastikan infrastruktur yang asas berada dalam keadaan baik, jadi terima kasih kerana bangkitkan isu ini," katanya ketika ditemui pemberita baru-baru ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya pemberita mengenai keadaan eskalator di Stesen Keretapi Ipoh yang dikatakan sudah lama dan usang.

Selain itu, ramai pengguna yang berpendapat ia patut digantikan dengan yang baharu demi keselesaan dan kemudahan pengguna, khususnya apabila tahun ini merupakan Tahun Melawat Ipoh.

Stesen keretapi Ipoh yang awal merupakan bangunan kayu sebelum pembinaan stesen keretapi kedua dibuat menggantikan stesen lama bermula pada tahun 1914.

Ia siap pada 1917 kerana kekurangan bahan binaan dan kenaikan harga serta kos pembinaan semasa Perang Dunia Pertama.

Stesen berusia lebih 100 tahun ini yang menjadi pintu masuk utama kepada pengguna rel ke Ipoh menerima kejadian ribuan pengguna setiap hari termasuk pengunjung luar.