Kebahagiaan dirinya ialah untuk melihat ibunya tersenyum walaupun terpaksa mengorbankan zaman remaja.

Begitulah kecekalan, Hanis Sofea Norazman, 18, memiliki kesabaran tinggi menjaga ibunya yang uzur akibat serangan angin ahmar ringan (strok minor) sejak tujuh bulan lalu.

Bermula dari itu, kehidupan Hanis Sofea tidak seindah remaja lain. Baginya tanggungjawab sebagai anak tunggal harus digalas walaupun terpaksa menempuh pelbagai rintangan.

Setelah arwah bapanya, Norazman Idris meninggal dunia pada 2014 akibat kencing manis, amanah mencari nafkah digalas oleh ibunya dengan mengambil upah mengurut dari rumah ke rumah.

Walaupun pendapatan kecil, namun cukup untuk menampung perbelanjaan mereka berdua termasuk persekolahannya di Sekolah Menengah Kebangsaaan (SMK) Raja Perempuan Ipoh (RPS).

Takdir menentukan segalanya, setelah ibunya jatuh sakit beliau harus mencari jalan untuk memastikan perbelanjaan seharian termasuk perubatan ibunya..

“Idea membuat kek tercetus dari mak saya dan sokongan rakan-rakan sekolah menguatkan lagi untuknya meneruskan perniagaan dari rumah. Tambahan pula, baru-baru ini saya mendapat sumbangan ketuhar elektrik dari pihak Navira Meditech.

“Saya juga mula mempelajari membuat biskut dari laman sosial You Tube, usaha saya membuahkan hasil dan kini saya mendapat tempahan biskut menggalakkan. Jenama produk keluaran saya ialah De pia’s bake, Homemade.

“Saya gembira dapat menjaga mak saya walaupun terpaksa membahagikan masa membuat biskut dengan pelajaran. Cikgu pun memahami dan menggalakkan saya. Alhamdulillah, peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang lalu berjalan dengan baik.

“Semua saya lakukan untuk melihat mak saya tersenyum dan sihat semula. Saya harus melihat kehadapan demi mak saya. Sokongan dari guru-guru dan kawan-kawan sangat mengharukan, terima kasih,” katanya yang kini baru seminggu berkerja sebagai jurujual di Angsana Mall.

Ibunya, Zunita Ghazali, 47, kini menjalani rawatan susulan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk kedua-dua belah mata yang mengalami masalah saraf.

Menurut Hanis Sofea, beliau akan menyediakan makanan buat ibunya sebelum keluar rumah untuk berkerja.

“Sewaktu bersekolah dahulupun saya harus menyediakan makanan untuk mak saya sebelum pergi sekolah sehinggalah ke hari ini. Penglihatan mak saya pun sudah semakin teruk tambah pula kedua belah lututnya sakit dan tidak boleh berdiri lama.

“Pendapatan saya sebulan lebih kurang RM400 sebulan, cukuplah untuk bayar sewa RM150 sebulan, ubat-ubatan mak dan lain-lain.

Saya akan teruskan pelajaran saya tetapi bergantung kepada kesihatan mak saya. Saya harap kesihatan mak saya dalam keadaan terkawal. Kalau boleh saya ingin berjaya menjadi seorang Cef satu hari nanti,” katanya yang tinggal di rumah pangsa Alur Tasek Timur 1, Taman Mewah Bercham.

Orang ramai yang ingin membantu perniagaan Hanis Sofea, bolehlah membuat tempahan di talian 017 6666 838 ataupun melayari laman instagram depiasbake.  -PERAKTASTIC-