IPOH- Seramai 2,000 wargakota Ipoh hadir memeriahkan Ipoh Car Free Day@Ipoh Low Carbon City kali ke-60 sempena Sambutan Hari Bandaraya Ipoh Kali Ke 35 di Dataran Ipoh, di sini pagi tadi.

Datuk Bandar Ipoh, Dato’ Rumaizi Baharin @ MD Daud berkata Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) matlamat utama penganjuran program untuk menjadikan Ipoh sebagai sebuah bandar rendah karbon dan menjelang 2030.

“MBI sentiasa menggalakkan amalan gaya hidup sihat dan amalan ‘Go Green’ dalam kalangan wargakota disamping mempertingkatkan kualiti udara dan persekitaran sesuatu kawasan yang sesak dengan kenderaan bermotor.

“Kesedaran melalui pendidikan penggunaan jalanraya dengan sistem pengangkutan yang selamat untuk semua peringkat umur menjadi fokus utama.

Selain menyediakan ruang sesuai untuk aktiviti dihujung minggu bersama keluarga ia juga mempertingkatkan hubungan diantara wargakota yang berbilang bangsa,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Tambahnya lagi, menerusi program itu ia mampu memupuk kesedaran mengenai alam sekitar, kesihatan, keselamatan, sejarah dan warisan Ipoh.

Seramai 200 peserta wanita dan kanak-kanak perempuan telah mengambil bahagian dalam acara Hey Ladies Fun Walk sejauh 3.5 km bagi merebut hadiah barangan elektrik, hamper dan goodies.

Jabatan Belia dan Sukan Negeri Perak dengan kerjasama Kelab Kecergasan turut menganjurkan acara senamrobik Fit @ Community.

Acara kemuncak, Rumaizi turut melancarkan Kempen Tiada Beg Plastik di bawah pengurusan Jabatan Perlesenan Bandaraya. -PERAKTASTIC-