IPOH: Berkuatkuasa 1 Jun 2023, semua premis perniagaan di sekitar Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) akan mengenakan 20 sen setiap penggunaan beg plastik bersempena Kempen Tiada Beg Plastik pada hari Sabtu setiap minggu.

Datuk Bandar Ipoh, Dato’ Rumaizi Baharin @ MD Daud berkata kempen itu bertujuan mengurangkan penggunaan beg plastik sekali guna dalam kalangan komuniti demi menjamin kelestarian alam sekitar.

“Kempen ini, dilaksanakan untuk menyokong usaha Kerajaan Persekutuan yang telah memperkenalkan polisi seragam melalui Pelan Hala Tuju Malaysia Ke Arah Sifar Penggunaan Plastik Sekali Guna 2018-2030 yang dilancarkan pada 17 Oktober 2018.

“Ia akan dilaksanakan melalui pengenaan caj pencemaran sebanyak 20 sen ke atas setiap helai beg plastik yang dibekalkan oleh premis perniagaan kepada pengguna selepas sesuatu pembelian dibuat.

“Premis yang terlibat dalam kempen ini terdiri daripada pasaraya hyper, pasaraya besar, pasaraya serbaneka, kedai serbaneka, restoran makanan segera, kedai serbaneka stesen minyak, kedai rangkaian dan farmasi.

 “Sebanyak 1,378 premis perniagaan terlibat dalam program ini. Penguatkuasaan kutipan caj beg plastik ini akan dilaksanakan melalui pengeluaran syarat-syarat tambahan di dalam lesen atau permit perniagaan,” katanya selepas Majlis Pelancaran Kempen Tiada Beg Plastik di Dataran MBI di sini pagi ini.

Untuk makluman, Jabatan Pelesenan dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Persekitaran MBI telah menganjurkan sesi libat urus bersama peniaga pada 18 Mei 2023 yang melibatkan seramai 120 orang peniaga.

Daripada jumlah tersebut sebanyak 22 (18%) peniaga (outlet perniagaan) telah mendaftar sebagai premis bebas beg plastik.

Setiap premis perniagaan yang membekalkan dan mengenakan caj 20 sen bagi setiap beg plastik kepada pengguna akan menerima Sijil Penyertaan Premis Hari Tanpa Beg Plastik Percuma.

Manakala, bagi premis perniagaan yang tidak membekalkan beg plastik kepada pengguna akan menerima Sijil Premis Bebas Beg Plastik dan sijil yang dikeluarkan perlu di pamerkan di permis perniagaan masing-masing.

Menurut beliau lagi, kutipan caj 20 sen itu akan diserahkan kepada MBI.

“Hasil kutipan itu akan digunakan untuk melaksanakan program-program melestarikan alam sekitar seperti penanaman pokok, mengadakan pameran, taklimat kepada pelajar sekolah dan masyarakat serta mengadakan kempen kitar semula.

“Saya berharap melalui kempen ini, wargakota Ipoh akan lebih peka ke atas setiap premis yang dikunjungi dan membudayakan amalan membawa beg sendiri untuk membeli barangan keperluan,” ujarnya. - PERAKTASTIC-