IPOH: Keadaan Geografi dan tarikan pelancongan di bandar raya Ipoh menjadi antara sebab mengapa ia menjadi lokasi tepat bagi perniagaan kafe bertaraf antarabangsa bertapak di sini.

Selain itu, kedudukannya juga terletak di tengah-tengah antara utara dan selatan seperti Kuala Lumpur dan Pulau Pinang juga memberi impak kepada kehadiran pengunjung.

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin berkata, pemilihan Ipoh sebagai lokasi cawangan kelima Hard Rock Cafe pada Disember nanti, sememangnya sesuatu yang dialu-alukan khususnya pada Tahun Melawat Ipoh 2023.

"Rancangan kita adalah untuk menjadikan Ipoh sebagai bandar pelancongan utama negara tahun 2025.

"Antara strategi kita ialah dengan menarik jenama-jenama antarabangsa untuk beroperasi di negeri ini.

"Ipoh ini bukan hanya sebagai ibu negeri semata-mata, tetapi bandar wilayah. Kita mahu gerakkan kawasan ini sebagai kawasan pelancongan berasaskan ekopelancongan dan seni.

"Sebelum ini pun kerajaan Persekutuan melalui Majlis Perancangan Negara sudah setuju jadikan Ipoh sebagai bandar wilayah meliputi Pahang barat (Cameron Highlands, Kuala Lipis) dan satu daerah di Gua Musang," katanya.

Sementara itu, ketika ditanya pemberita berhubung kesesuaian pembukaan Hard Rock Cafe di Ipoh walaupun infrastruktur bandar raya ini masih belum di tahap yang maksium, beliau berkata semuanya tidak mustahil.

"Semuanya bergantung kepada pemasaran, contohnya kita lihat mengapa orang belanjakan wang ke Afrika, tahap infrastrukturnya biasa saja.

"Saya pernah sampai bandar di Cameroon, Afrika. Kita tengok tiada apa di situ tetapi kawasan pelancongannya lebih ramai datang dari Malaysia, ia bukan tentang infrastruktur tapi dalam pelancongan ini, bagaimana mahu menjual produk anda.

"Sasaran kita selain pengunjung tempatan, kita juga cuba tarik pengunjung antarabangsa, kalau bikers mungkin dari Thailand dan Singapura," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media selepas merasmikan Majlis Ramah Mesra Bersama Media dan 'Soft Launch' Hard Rock Cafe Ipoh, di Tasik Cermin di sini pada Jumaat. Hadir sama, Naib Presiden Kawasan Asia Pasifik Hard Rock Cafe Antarabangsa, Malcolm Chao.

Dalam pada itu, Malcolm memberitahu pembukaan Hard Rock Cafe di Ipoh bersesuaian dengan lokasinya. Katanya lagi, selain pembukaan di Ipoh pada Disember, kafe itu kini terdapat di Pulau Pinang, Kuala Lumpur, Melaka, dan Johor Bahru.

Rock Shop di Palo 101, terletak di Jalan Sultan Iskandar, akan menjadi fasa pertama pembukaan Hard Rock Cafe Ipoh pada 16 Jun tetapi kafe akan dibuka pada Desember tahun ini.

"Sudah tiba masanya menarik lebih ramai pelancong antarabangsa untuk melawat Ipoh, banyak perkara boleh diteroka di sini dengan kawasan pelancongan menarik," katanya. -PERAKTASTIC-