IPOH: Tempoh 18 tahun hubungan bandar raya persahabatan antara Nanning, China dan Ipoh yang termeterai selama ini nyata memberi banyak impak positif baik daripada sudut ekonomi dan budaya dua hala.

Kerjasama yang terjalin sejak tahun 2005 itu bukan sahaja berjaya mengukuhkan persahabatan antara dua bandar raya, tetapi turut meliputi dua negara iaitu China dan Malaysia secara keseluruhan.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Sandrea Ng Shy Ching berkata, objektif hubungan dua bandar raya ini adalah bagi memperkukuh dan mempromosi kesefahaman serta persahabatan antara rakyat Malaysia dan China.

"Dalam tempoh lapan belas tahun persahabatan, kedua-dua bandar telah mewujudkan sebuah bandar yang mempunyai ikatan persefahaman dan kerjasama bersama.

"Antaranya seperti Festival Seni Lagu Rakyat Antarabangsa Nanning dan Ekspo Asia China, Forum Datuk Bandar Asia serta lawatan rasmi dan kunjungan hormat.

"Hubungan itu termasuk kerjasama bidang ekonomi, sains dan teknologi, perdagangan, kebudayaan, pendidikan dan sukan.

"Pihak Nanning telah banyak membantu memberi sumbangan semasa penularan COVID-19. Ini adalah satu usaha ikatan diplomatik yang melibatkan pihak berkuasa lebih tinggi iaitu kerajaan negeri.

"Mesyuarat dua hala akan diadakan selepas ini di mana saya amat berharap usahawan dari kedua-dua bandar akan membincangkan potensi rangkaian perniagaan dan industri yang boleh diterokai oleh Ipoh dan Nanning pada masa depan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Memperbaharui Pewujudan Bandar Raya Nanning, China dan Bandar Raya Ipoh, di sini malam tadi.

Turut sama, Timbalan Pengarah Pejabat Hal Ehwal Luar Negeri Nanning, Huang Haiyan dan Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin.

Sementara itu, Huang Haiyan berharap hubungan kedua-dua bandar ini dapat membuka lebih banyak peluang kerjasama di samping mengeratkan hubungan China dan Malaysia.

"Sebelum ini Nanning ada menyumbangkan dua unit alat bantuan penafasan (ventilator) kepada Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh.

"Selain itu kita dapat lihat hampir dua dekad, pemimpin dari dua bandar raya ini terus mengekalkan kerjasama erat dalam pelbagai sektor seperti budaya, ekonomi, pelaburan serta kesihatan," katanya.

Terdahulu dalam majlis tersebut, Huang Haiyan menandatangani MoU bagi pihak bandar raya Nanning, manakala Rumaizi mewakili bandar raya Ipoh. -PERAKTASTIC-