IPOH - Dua terowong laluan haiwan atau 'animal box culvert' akan dibina merentasi Hutan Simpan Bubu pada jajaran Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) sebagai lintasan haiwan liar.

Pembinaan terowong laluan khas haiwan liar melintas yang menggunakan kemahiran kejuteraan tempatan ini juga yang pertama untuk lebuh raya di Malaysia.

Ini memberi keunikan pada jajaran sepanjang 35.5 kilometer (km) itu dari Persimpangan Beruas ke Persimpangan Taiping Selatan yang dijangka siap pada penghujung tahun ini.

Ketua Operasi Lebuhraya WCE, Ir. Syed Muhd. Naguib Syed Mohd. berkata, pembinaan laluan khas itu bagi memelihara persekitaran yang mana dapat melindungi hidupan liar.

"Jajaran ini akan merentasi Hutan Simpan Bubu dan sebagai satu langkah pemeliharaan alam sekitar dan ekosistem, kita membina dua terowong laluan haiwan atau 'animal box culvert'.

"Pembinaan terowong laluan khas haiwan liar melintas yang menggunakan kemahiran kejuteraan tempatan ini juga yang pertama untuk lebuh raya di Malaysia," ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sesi media bersama pengurusan WCE Expressway di sini.

Turut hadir Pengurus Besar, Komunikasi Strategik & Penglibatan Pihak Berkepentingan WCE, Syed Mohammed Idid.

Ketika in pembinaan jajaran bahagian utara WCE atau Seksyen 11 itu telah siap 88 peratus.

Ia melibatkan semua elemen kejuruteraan seperti kerja-kerja turapan jalan, pembinaan cerun, pembinaan rumah tol dan mekanikal.

Menurut Syed Muhd. Naguib, sebanyak enam kawasan Rehat dan Rawat (R&R) akan dibina di Perak tahun hadapan iaitu masing-masing tiga di setiap bahagian.

Antaranya di laluan Teluk Intan selatan dan utara, Sungai Wangi selatan, Air Tawar utara serta Sungai Nyior utara dan selatan.

"Jarak antara R&R pada setiap bahagian ini adalah 60km.

"Perbincangan juga sedang dijalankan dengan beberapa pihak untuk pembukaan stesen minyak di setiap R&R ini," ujarnya.


End