Taiping: Tourism Malaysia, merasmikan satu lagi produk ekopelancongan di Bandar Warisan Taiping yang akan menjadi tumpuan pengunjung menerusi Trail Konservasi Maxwell Basecamp.

Ketua Pengarah Pelancongan Malaysia, Dato Dr. Ammar Abd. Ghapar berkata produk berasaskan ekopelancongan ini, mampu memberikan nafas baharu selain menggamit kehadiran pengunjung ke Taiping khususnya di Bukit Larut.

“Trail Konservasi Maxwell Basecamp merupakan satu projek kelestarian yang mengutamakan biodiversiti, pemuliharaan sejarah dan alam semula jadi, pengurangan karbon serta kemampanan alam sekitar.

“Selain Trail Konservasi berinteraktif ia juga merangkumi laluan denai alam semula jadi, Suunto Vertical Segment, galeri, tapak perkhemahan, kafe dan rekreasi luar serta bilik pameran.

“Fasa pertama Trail Konservasi ini adalah sepanjang 220 meter dan apabila siap sepenuhnya akan meliputi jarak kira-kira 2.5 kilometer,” katanya selepas merasmikan Majlis Pelancaran Trail Konservasi Maxwell Basecamp di kaki Bukit Larut, di sini hari ini.

Maxwell BaseCamp adalah satu projek pemuliharaan alam sekitar oleh syarikat Malaysia Mountain Trail Festival Consultant (MMTFC).

MMTFC merupakan sebuah syarikat pengurusan acara sukan antarabangsa berpusat di Taiping. Sebelum ini ia telah menganjurkan program Malaysia Mountain Trail Festival dengan kerjasama Jabatan Perhutanan Negeri Perak sejak tahun 2018.

Menurut Ammar lagi, MMTFC telah memulakan projek pembangunan alam sekitar berimpak rendah ini pada Ogos 2022 selepas mendapat kelulusan secara rasmi daripada Jabatan Perhutanan Negeri Perak dan Kerajaan Negeri Perak.

“Fasa pertama projek pembangunan alam sekitar berimpak rendah ini telah menelan kos kira-kira RM650,000.00. - PERAKTASTIC-

“MMTFC telah dianugerahkan geran oleh Thinkcity di bawah Cultural Economy Catalytic Geran pada 10 Ogos 2022 untuk membiayai kos projek ini.

“Maxwell BaseCamp ialah projek mesra alam yang memperjuangkan biodiversiti, pemuliharaan sejarah dan alam semula jadi, karbon rendah, kitar semula, kemampanan, ruang hijau dan tenaga guna semula. Kira-kira 5300 pokok telah ditanam semula di tapak ini sejak November 2022.

“Diharapakan usaha ini akan memberi pendidikan kepada pengunjung tentang flora dan fauna, pemuliharaan alam semula jadi, dan perkara yang berkaitan dengan alam sekitar,” katanya. -PERAKTASTIC-